PUTRAJAYA – Sebanyak RM2.1 juta diperuntukkan untuk Misi Bantuan Banjir Skuad Musaadah Madani (SMM) bagi membantu negeri-negeri yang terjejas akibat banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan berkenaan merupakan hasil sumbangan daripada pelbagai agensi di bawahnya.

Beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyumbang paling banyak iaitu RM1 juta, diikuti dengan Tabung Musaadah (RM500,000), Tabung Haji (RM200,000) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebanyak RM162,400.

“Selain itu, Yayasan Taqwa MAIWP menyumbang RM100,000 diikuti dengan Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) masing-masing sumbang RM50,000 manakala Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)  sumbang RM25,000” katanya ketika menyampaikan ucapan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir SMM di bawah agensi agama, pagi ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Ujar Mohd Na’im, misi bantuan itu akan digerakkan ke Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak secara berperingkat bermula hari ini.

“Saya meminta semua agensi di bawah saya untuk terus mengambil tindakan pantas menyantuni mangsa-mangsa banjir yang terjejas demi memberikan gambaran bahawa kita sentiasa menyantuni dan ingin membantu mereka yang dilanda musibah selaras dengan prinsip rahmah seperti dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelas beliau.

Tambahnya, sebanyak 15 buah kendereaan termasuk daripada agensi selain dua bas MAPIM akan digerakkan untuk membawa barang keperluan dan seterusnya diagihkan kepada mangsa.

“Antara yang dibawa adalah makanan kering, beras, selimut dan banyak lagi,” menurutnya. -MalaysiaGazette