Murid, Nuh Zill Qayyim Zulfadli Adhwa menyusun beg di luar kelas bagi mematuhi SOP pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan tadika berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tadika Tunas Ilmu, Lembah Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 754 buku teks telah diubah ke bentuk digital dan telah dimuatnaik ke pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan yang diambil oleh kementerian dalam menangani isu beg berat yang ditanggung pelajar.

“Untuk makluman ahli Yang Berhormat juga, pada masa ini KPM dalam usaha untuk menukarkan bahan sistem pendidikan termasuk buku teks secara fizikal kepada digital dengan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan semua murid dan ketersediaan capaian internet.

“KPM juga mengadakan sebahagian bahan pembelajaran dalam bentuk digital. Pada masa ini, KPM telah memuat naik sebanyak 754 buah buku teks digital dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia,” kata Hui Ying.

Beliau menjawab soalan soalan Ahli Parlimen Dungun (PN) Wan Hassan Mohd Ramli mengenai langkah Kerajaan dalam menyelesaikan masalah bagi meringankan beban beg berat dalam kalangan pelajar terutamanya sekolah kebangsaan.

Hui Ying bagaimanapun tidak dapat memberikan tempoh masa keseluruhan buku teks diubah ke bentuk digital kerana ia memerlukan perancangan kewangan yang teliti melibatkan penyediaan peranti dan kemudahan internet.

Tambah beliau, pada tahun lalu kerajaan telah membekalkan sejumlah 3,800 mesin projektor kepada sekolah dan menyasarkan pemberian 3,500 unit lagi tahun ini.

Sementara itu KPM telah melaksanakan penambahbaikan inisiatif bagi menangani isu beg berat secara holistik bermula tahun lalu.

Langkah tersebut termasuk penyediaan lokar sekolah rendah kepada semua murid Tahap 1 iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

Penyusunan semula jadual waktu bagi membolehkan guru merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara optimum dengan memperuntukkan masa bagi melaksanakan pendekatan modular dan bertema.

Mengehadkan penggunaan bilangan buku latihan iaitu tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran.

Menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu PdP dan menggalakkan guru menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid.-MalaysiaGazette