Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Para perwakilan UMNO yang terlibat dengan pemilihan pemimpin bagi sesi 2023-2026 diminta memilih calon yang ikhlas dalam perjuangan untuk membawa parti ke arah lebih cemerlang.

Nasihat itu disampaikan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah demi mengelakkan daripada parti berpecah akibat tidak sehaluan antara satu sama lain.

“Saya seru para perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan sesi ini pilihlah yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan.

“Kita tidak mahu disebabkan pertandingan ini akan menyebabkan perpecahan terutamanya dalam menentukan barisan kepimpinan baharu untuk mengemudi parti.

“Tanggungjawab dan amanah perwakilan ialah memilih pemimpin yang menawarkan diri, bulan memilih pemimpin berdasarkan wang ringgit. Pilihlah pemimpin yang ikhlas dalam perjuangan,” katanya sebagaimana dilaporkan UMNO Online, hari ini.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, pemilihan ini merupakan pertandingan kekeluargaan, tidak kira siapa menang atau kalah, semua ahli perlu kembali bertaut dan bergerak sebagai sebuah keluarga besar parti.

Katanya, kalau wujud perpecahan, harapan UMNO untuk beroleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti akan gagal dan menerima Nasib seperti PRU14 serta PRU15.

Sebagai calon nombor dua bagi pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Armand Azha menyatakan pengalaman bertemu akar umbi amat positif.

“Alhamdulilah, saya telah bertemu dengan para perwakilan dan akar umbi sepanjang tempoh berkempen dan ianya amat positif.

“Sebentar tadi, ada orang buat ‘poll’ antara ketiga-tiga calon yang bertanding jawatan ini. Saya nak cakap terima kasih kepada pembuat ‘poll’ tersebut kerana daripada 100 peratus, saya mendapat 63 peratus.

“Jangan lupa undi calon nombor dua, Armand Azha, calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Pukul 11 pagi pergi undi, 8.30 malam saya jadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast