BATU PAHAT – Meskipun banjir belum surut sepenuhnya dan masjid masih dikelilingi air, tidak menghalang penduduk menunaikan solat Jumaat, hari ini.

Tinjauan di Masjid Jamek Kampung Selulun mendapati kira-kira 70 jemaah meredah air untuk ke masjid untuk melaksanakan kewajipan sebagai seorang Muslim.

Mohd Fadil Mohd Kahar, 35, berkata, air bah bukannya penghalang untuk beliau menunaikan solah Jumaat.

“Ini memang sudah menjadi kewajipan. Kita redah jugalah banjir nak buat macam mana. Solat Jumaat tetap kita laksanakan.

“Keadaanya semakin surut banyak juga yang surut. Bersyukur sebab sudah nak Ramadan dan saya harap harap banjir ini cepatlah turun,” katanya.

Sementara itu Mohd Hanif Hashim, 24, berkata, ia bukannya masalah besar untuk ke masjid memandangkan paras air hanya di buku lalu.

“Senang cakap tak menyusahkan lah. Selagi boleh pergi. Itu kewajipan walaupun banjir kita wajib solat dan ketika sembahyang semua kita doakan yang baik-baik.

“Bersyukur, lega dah nak puasa. Air dah nak susut banyak juga. Lagi cepat lagi senang urusan,” ujarnya.

Jamion Ali, 82, yang menyifatkan banjir di situ sebagai banjir terburuk pernah berlaku mengharapkan cuaca baik berterusan sebelum umat Islam menyambut Ramadan dalam masa gua minggu lagi.

Beliau mengharapkan keadaan kembali pulih agar penduduk melaksanakan solat terawih tanpa masalah.

“Banjir itu luar biasa, saya dah umur 80 lebih. Dulu memang tak pernah lihat banjir sebegini buruk. Luar biasa. Macam mana pun bersyukur dapat tunaikan solat Jumaat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast