KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia harus mempunyai visi untuk memastikan sayap parti itu terus berada di landasan yang betul.
Bagi calon Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Hazwani Haslan, perkara itu boleh dibuat dengan semangat jitu sepasukan demi memastikan sayap itu dapat membantu parti dalam apa juga perkara.
Menurutnya, menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi itu bukan hanya suka-suka tetapi iltizamnya mahu melihat UMNO menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Ia mungkin lama lagi, tetapi tempoh lima tahun itu sebenarnya tidak panjang.
“Kalau tak mula sekarang, saya rasa kita akan terus ketinggalan, lagi pula kita sudah kalah dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
“UMNO hanya menang 26 kerusi, jadi dengan itu, saya akan bergerak dua langkah ke depan memastikan pada edisi pilihan raya seterusnya UMNO akan mampu bangkit dan menang banyak kerusi,” katanya ketika menjadi tetamu program SKOP MG hari ini.
Ketika ditanya mengenai dakwaan Puteri UMNO hanya menjadi penyeri dalam UMNO, Hazwani menafikan perkara itu.
“Kami bukan sekadar penyeri, tetapi Puteri adalah sayap yang akan membantu parti mendapatkan semula kemenangan.
“Adalah mudah untuk mengekalkan kemenangan tetapi bangkit dari kekalahan dan mencapai kemenangan itu adalah mustahil tetapi saya tetap mengambil cabaran itu.
“Saya bersama UMNO sejak PRU13 lagi. Saya bersama-sama parti menyelurusi perjuangan ini.
“Melihat kekalahan parti ini menjadikan saya lebih kuat dan matang kerana itu saya mahu membawa Puteri bersama-sama saya dan berganding bahu untuk PRU16 nanti,” ujarnya.
Jelas Setiausaha Agung Puteri UMNO Malaysia ini lagi, walaupun ia dilihat masih jauh perjalanannya, tetapi perkara asas perlu dilakukan sekarang.
“Kita tidak boleh lagi menunggu hingga bubar baru nak bersedia. Saya dan pasukan Puteri UMNO akan memastikan segala pergerakan bermula daripada sekarang hingga pilihan raya nanti.
“Ini kerja berpasukan dan saya tidak boleh bersendirian, kerana itu saya berpegang pada 4S yang saya rasakan mampu direalisasikan iaitu ‘Sinergi, Struktur, Simetri dan Stabil’.
“Dengan kesemua ini, saya yakin semua akan terangkum dan agenda memperkasakan parti dapat dilaksana,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hazwani juga mengakui isu-isu wanita muda antara perkara penting yang memerlukan perhatian dan pembelaan.
“Wanita muda dihimpit pelbagai isu tidak hanya masalah rumah tangga malah isu ‘body shamming’ juga antara yang sering kita dengar.
“Sebab itu, saya bangkit dan mahu perkara ini dipandang serius dan ada pembelaan serta perhatian.
“Ini tugas berat seorang ketua, tetapi saya yakin mampu dilakukan denfgan berkat sokongan dan dokongan semua andai saya dipilih pada sesi pemilihan ini,” ujarnya.
Tidak hanya itu, Hazwani turut berharap pemilihan kali ini juga mampu mengembalikan minat dan kepercayaan anak muda kepada UMNO.
“Gelanggang 2023 sangat berbeza dan untuk pasca pilihan raya ini adalah detik terbaik perubahan dapat dilakukan.
“Saya sudah bertemu semua perwakilan dan mereka mahukan perubahan dan paling penting membawa Puteri UMNO ini ke tahap yang lebih membanggakan,” katanya. – MalaysiaGazette