Rosmah Mansor, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik rayuan untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, kini Hakim Mahkamah Rayuan, daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya.

Berdasarkan notis pemberhentian difailkan Tetuan Geethan Ram pada 1 Mac lalu, Rosmah selaku perayu menarik balik rayuan itu yang difailkan pada 29 April 2022.

Berikutan itu, rayuan tersebut disifatkan telah ditolak sepertimana peruntukan Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Rayuan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijadualkan didengar pada 17 Mac ini.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada November tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran kes itu dan meminta pembelaan serta pendakwaan memfailkan hujahan lanjut berhubung isu sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan tersebut.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 15 hari bermula 12 Mei ini untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Beliau turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – Bernama