Mohd Yusri Hassan Basri.

IPOH – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendakwa mengalami kecederaan akibat dipijak pegawai kanan jabatan sama di Depot Imigresen Sementara, Bidor pada Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada lelaki itu pada keesokan hari kira-kira jam 2 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada hari terakhir mangsa berusia 25 tahun itu menjalani Ujian Kecergasan Pegawai dan Anggota Pasukan Taktikal Khas (Pastak).

“Mangsa bersama dua pelatih diarahkan melakukan hukuman tekan tubi sebanyak 20 kali oleh suspek sebelum dia bertindak memijak bahagian belakang leher sehingga menyebabkan mangsa tersungkur.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, Selangor susulan mengalami kecederaan di bahagian hidung, luka bahagian gusi, bibir selain sebatang gigi hadapan patah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Yusri, pihaknya telah memanggil suspek dan kesemua saksi yang terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette