Ahmad Yahaya.

KUALA LUMPUR – Peranan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dipersoalkan.

Datuk Ahmad Yahaya (Pokok Sena-PN)  dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh Mohammad Agus selepas beliau didakwa menyerang kepimpinan Pas.

“Hari ini J-KOM telah diberi peranan bersifat  cybertrooper yang menyerang pihak lawan.

“Beberapa hari lalu Ketua Pengarah J-KOM mengeluarkan kenyataan mengaitkan Pas sebagai radikal, ekstremis malah dikaitkan Pas dengan Islamic State.

“Beliau juga menuduh tuan guru tafsir di Masjid Rusila sehingga dua kali khatam (al-Quran) sebagai ekstremis. Jadi persoalan saya apa wajah sebenar KP J-KOM pada hari ini,” kata Ahmad.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Jawatankuasa hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mohammad Agus mendakwa wujudnya ideologi radikal dalam kalangan parti politik pembangkang sejak kebelakangan ini, mampu menggugat kestabilan negara, sekali gus menggulingkan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, jika pemimpin parti politik sendiri menyuburkan ideologi radikal maka ahli dan penyokong akan lebih terdorong untuk berfikiran dan berkelakuan sedemikian selari dengan matlamat kumpulan militan Islam IS.

Sementara itu, Ahmad turut mempersoalkan tindakan yang diambil terhadap peserta perhimpunan di hadapan pusat beli belah Sogo yang didakwa menyokong amalan LGBT.

“Mereka terang-terangan membawa sepanduk dan bendera pelangi sebagai tanda sokongan kepada golongan LGBT. Mereka berani tampil untuk mendedahkan pendirian mereka dengan jelas. Malah diwajahkan melalui ucapan dan penulisan malah dalam filem Mentega Terbang baru-baru ini.

“Ertinya mereka bergerak dalam jarum yang cukup halus saya melihat golongan ini cuba menyerap masuk dalam masyarakat dengan membunuh rasa sensitiviti terhadap kesongsangan tersebut,” kata Ahmad.- MalaysiaGazette