KUALA LUMPUR – Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan kesukaran untuk memujuk pemain menyertai pasukan tersebut pada tahun 2013.
Menurut Tunku Mahkota Johor atau TMJ, ini kerana mereka khuatir akan timbul masalah seperti tunggakan gaji dan sebagainya.
“Dahulu tiada orang nak masuk JDT kerana tiada keyakinan, pemain takut benda ini hanyalah sekadar hobi sementara. Mereka juga bimbang kelab tak bayar gaji dan ada masalah pada masa akan datang.
“Jadi susah juga, tak begitu senang untuk yakinkan pemain-pemain masuk JDT pada mulanya,” kata TMJ ketika bersiaran secara langsung di Hot FM menerusi segmen Bekpes Hot kendalian bekas Menteri Kesihatan yang juga Ahli Lembaga Pengarah JDT, Khairy Jamaluddin.
“Pada tahun 2013, saya tidak kenal satu pun pemain dalam Malaysia tetapi sejak 2014, saya lebih kenal pemain dan mula merekrut pemain tersebut.
“Kalau pemilihan pemain tempatan, saya pilih sendiri, saya tak pernah ada scout. Tapi untuk pemain import, saya ada type of player yang saya nak.
“Scouting team JDT akan terbang ke negara tersebut untuk ikut pemain selama dua minggu. Dalam tempoh itu bukan saja nak tengok cara dia main bola, tapi sikap dia, perangai dia…boleh tak dia menimbulkan apa-apa masalah kepada pasukan dan perkara ini mustahak sangat,” katanya. – MalaysiaGazette