Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Bantuan Sara Hidup (BSH) adalah antara satu daripada lebih bantuan yang disediakan Kementerian Pertahanan untuk menjaga kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, setakat ini, 97 peratus daripada 9,000 veteran yang tidak berpencen menerima BSH sebanyak RM300 sebulan.

Katanya, usaha kementerian menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteren (JHEV) berusaha mengesan veteran yang belum mendaftar dengan jabatan itu untuk dipertimbangkan bantuan.

“Namun masalah yang dihadapi JHEV ialah mereka yang dulu-dulu iaitu yang berusia 80 tahun ke atas masih tidak mendaftar. Itu sebabnya, kami menggalakkan dan memohon meminta supaya Persatuan Veteran ATM di setiap negeri dan cawangan mencari serta mendaftarkan mereka dengan JHEV.

“Bagaimanapun, jumlah veteran yang telah berdaftar melebihi 200,000, tetapi kebanyakan mereka berumur 65 tahun ke bawah,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamad, kebanyakan veteran yang tidak berdaftar dari Sabah dan Sarawak.

“Mereka ini ramai yang tidak mendaftar, itu yang menghairankan kami. Pengarah JHEV telah pun ke Sabah untuk memastikan kebajikan dan juga hal ehwal veteran yang ramai tidak berdaftar untuk diberikan perhatian.

“Dalam cadangan yang dibuat kementerian ialah untuk menambah bilangan bantuan sara hidup ini daripada 9,000 kepada 15,000 orang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata, berhubung dengan penyelarasan pencen, kementeriannya sedang mencari satu formula yang terbaik.

Katanya, beberapa opsyen diterokai supaya dapat mengimbangi antara bebanan kewangan dan kebajikan.

“Kita telah minta Timbalan Menteri Pertahanan memberikan penumpuan kepada isu ini dan berbincang dengan persatuan untuk cari formula yang win-win kepada semua supaya kebajikan mereka dapat diperjuangkan,” katanya. – MalaysiaGazette