PUTRAJAYA – Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PKPRCSWK) akan menerbitkan tiga filem berkaitan sejarah warisan raja memerintah di Kelantan.
Filem pertama bertajuk Urduga, kedua, Perempuan di Puncak Dabong dan ketiga filem berbentuk dokumentari galeri Cik Siti Wan Kembang iaitu peninggalan sejarah dan warisan.
Menurut Yang Dipertuanya, Dr. Fadzillah Hussin, semua filem itu yang melibatkan kos kira-kira RM100 juta akan diterbitkan tahun ini.
Ketika ini pihaknya dalam proses memilih pengarah dan pelakon yang sesuai dengan watak.
Kata beliau, filem Urduga diterbitkan secara bersiri untuk siaran Netflix manakala Perempuan di Puncak Dabong akan ditayang di pawagam dan dokumentari masih dalam perancangan untuk siaran.
“Cerita ini berkenaan dengan sejarah warisan purba pusaka Melayu iaitu Cik Siti Wan Kembang yang merupakan wanita pertama Melayu ditabalkan sebagai raja memerintah Kelantan di era 1610 Masihi.
“Sejarah yang akan difilemkan ini merupakan satu-satunya warisan pusaka yang sejarahnya telah dilupakan.
“Kisah ini adalah sejarah wanita pertama menjadi pahlawan dan yang membuka sistem wang atau gabenor pertama di dunia, tetapi telah dihilangkan kisah sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Budaya Warisan Cik Siti Wan Kembang, Pra Pelancaran Filem Perempuan di Puncak Dabong dan Urduga serta Menandatangani MoU dengan Triumph Shayher Berhad di sebuah hotel di sini malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman; Penasihat Anak Angkat Kerabat DSSWK, Prof. Datuk Dr. Gan Chai Leong Hon; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Triumph Shayher Berhad, Datuk Ray Teoh Chee Ming.
Majlis itu turut menyaksikan MoU projek filem PKPRCSWK dengan syarikat Triumph Shayher Berhad bagi pembikinan tiga filem berkenaan.
Menurut Dr. Fadzillah, banyak sejarah Cik Siti Wan Kembang tidak disebarluaskan oleh para ilmuan seperti kijang yang menjadi haiwan kesayangan raja perempuan itu.
Katanya, kijang itu kemudian dijadikan simbol atau lambang dalam wang ringgit Malaysia oleh Bank Negara (BNM).
“Ini pun kita akan angkat semula dalam dokumentari untuk tatapan generasi akan datang, supaya mereka tahu sejarah dan jasa paduka raja Cik Siti Wan Kembang dalam memartabatkan Tanah Melayu.
“Sejarah ini turut merangkumi Patani di Wilayah Selatan Thailand yang mempunyai kaitan dengan Kedah, Pahang, Terengganu dan seterusnya Kelantan.
“Walaupun, ia ada dalam lipatan sejarah pemerintahan Kelantan namun satu jalan atau sekolah pun tidak dinamakan. Ini sangat menyedihkan kerana seolah ada pihak mahu warisannya dilupakan,” katanya.
Kata Dr. Fadzillah lagi, PKPRCSWK yang digerakkannya sejak lebih 30 tahun lalu memegang amanah keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang untuk diangkat menerusi filem.
Ujar beliau, filem itu akan disebarluaskan ke serata pelosok dengan tujuannya adalah untuk mengembangkan ilmu raja perempuan dan bagaimana kekentalannya sebagai seorang perempuan menjadi pemerintah.
“Kita tengok pada zaman ini memang sesuai sangat ilmu Cik Siti Wan Kembang ini diterapkan kembali kepada generasi baru supaya ada identiti, kualiti, integriti, amanah, tanggungjawab dan maruah.
“Apa yang kita nak angkat dalam filem ini adalah satu kesinambungan ilmu yang begitu mendalam dari sudut Islam, hukum dan kemanusiaan yang kita lupakan.
“Insya-Allah pada filem ini, kami akan terapkan begitu halus mengenai warisan pusaka, pakaian, budaya, adat resam, ilmuan, tatasusila orang Melayu, wanita Melayu daripada seorang takhta raja perempuan turun kepada ibu, isteri, gadis, ibu tunggal dan sebagainya,” kata beliau.
Pada masa sama, katanya, PKPRCSWK telah menghantar satu kertas kerja kepada kerajaan menerusi Jabatan Warisan Negara mencadangkan agar mewujudkan satu kementerian khusus mengenai pusaka negara.
Kementerian ini penting diwujudkan dengan peranan menjaga segala amanah berkaitan barang dan harta artifak pusaka tanah Melayu, tanpa boleh dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, Kamil berkata, pihaknya melihat usaha PKPRCSWK untuk menerbitkan filem bergenre warisan sebagai satu peluang yang baik.
Kata beliau, filem seumpama itu boleh menarik pelancong asing untuk melihat secara dekat adat resam, budaya warisan dan sejarah kehidupan rakyat di negara ini, terutama Kelantan.
“Saya difahamkan, filem ini turut melibatkan lokasi di Thailand dan Indonesia. Ini menambahkan lagi usaha untuk menarik masyarakat luar mengenali Kelantan dan Malaysia khasnya.
“Filem ini adalah satu peluang, di mana kita boleh duduk berbincang selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette