Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan melakukan gimik perasmian sebelum pada Majlis Pengumuman Dividen 2022 LTAT dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira di Menara Chulan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak lima peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM476.45 juta bagi tahun 2022.

Ia merupakan peningkatan kadar dividen berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah 4.1 peratus dengan jumlah pembayaran RM379.42 juta.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, peratusan dividen yang lebih baik pada tahun ini mencapai misi 5:50 bersempena sambutan Jubli Emas LTAT.

Katanya, kadar dividen tahun ini juga dilihat konsisten sejak 2018.

“Walaupun 2022 adalah tahun yang mencabar buat LTAT, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa kita kini dalam fasa akhir pelaksanaan Pelan Transformasi 2019-2023 untuk mengukuhkan kedudukan serta mengukuhkan kedudukan dan kekal kompetitif dengan sana lain.

“Pelan yang dipaksikan Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik (SAA) ini bertujuan untuk memberi pulangan jangka masa panjang yang mampan kepada pencarum iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara tentera,” katanya pada majlis pengumuman Dividen 2022 dan penyampaian hadiah cabutan bertuah di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman.

Sementara itu, Nazim berkata, LTAT merekodkan RM652.36 juta Pendapatan Kasar untuk tahun dalam tinjauan, peningkatan sebanyak 27.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ia didorong oleh hasil pendapatan pelaburan ekuiti awam dan ekuiti persendirian. LTAT juga merekodkan RM499.64 juta Pendapatan Tertahan (pasca dividen) iaitu peningkatan signifikan sebanyak 72.8 peratus berbanding RM289.15 juta pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

Beliau berkata, LTAT berjaya merekod prestasi kewangan tahun ke tahun yang lebih baik untuk semua penunjuk prestasi utama kewangan, sejak Pelan Transformasi dimulakan pada 2019.

“Kami kekal teguh dalam memberikan pulangan yang mampan dan juga membangunkan simpanan persaraan pencarum.

“Peningkatan ini sememangnya adalah hasil daripada langkah bersepadu penambahbaikan tadbir urus korporat, penyelarasan perumpukan aset, pengukuhan kompetensi bakat dan penggubahan rangka kerja risiko dan kawalan dalaman.

Kadar dividen LTAT, pada 2018 adalah 2.0 peratus diikuti 2019 (2.5 peratus), 2020 (3.5 peratus) dan 2021 (4.1 peratus). – MalaysiaGazette