Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di mahkamah bagi menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2023.

SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas satu pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta awal tahun lalu.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

“Saya dikenakan pertuduhan ketujuh dan mengaku tidak bersalah serta mohon bicara.

“Saya juga mohon pindah kes ini ke Mahkamah Kuala Lumpur dan mahkamah sini sudah bersetuju dan akan tetapkan tarikhnya,” kata Presiden Bersatu dan bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media ringkas di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti.

Kesalahan itu dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, 7 Januari 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Oleh demikian, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu Datuk K. Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin, 75, dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu pada 10 Mac lepas.

Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. ada kata sebab masa PM8 jadi kerajaan duit tu masuk kat parti dia. sebab dia jadi kerajaan dikira rasuah, habistu patutnya semua parti yang ada kerajaan pun kena siasat dana politik ini. PKR kerajaan Selangor, DAP kerajaan P.Pinang, PAS kerajaan Kelantan, UMNO Johor , GPS Sarawak, GRS Sabah. Hendak siasat biar siasat semua. Sebab tu dari dulu lagi, setiap sumber dana politik minta istihar supaya tiada amalan AMLA.

Comments are closed.