Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kemajuan pembangunan infrastruktur projek Chuping Valley Industrial Area (CVIA) Perlis dijangka siap sepenuhnya suku pertama tahun ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata demikian kepada Dewan Rakyat pagi ini bagi menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (Pas-Arau).

Beliau berkata, CVIA merupakan projek taman perindustrian bersepadu yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.

Ia, katanya, bertujuan untuk menarik pelaburan khususnya dalam sektor berimpak tinggi termasuk sektor pembuatan hijau, tenaga boleh diperbaharui dan industri halal.

“Sehingga 31 Januari lalu, kemajuan pembangunan infrastruktur projek ini telah mencapai 89.4 peratus dan ia dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2023 ini.

“Projek CVIA juga dijangka menerima pelaburan komited setakat ini berjumlah RM2.5 bilion dengan sasaran untuk mewujudkan 1,870 peluang pekerjaan setelah disiapkan kelak,” katanya.

Beliau menjawab soalan Shahidan yang bertanya adakah kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan projek CVIA dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang telah lama dirancang kerana projek itu dijangka mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama dari segi sosioekonomi khususnya bagi Perlis dan juga negara.

Mengenai projek PIP pula, Rafizi menjelaskan, projek itu di bawah inisatif kerajaan Perlis yang dilaksanakan menerusi model kerjasama awam-swasta.

Jelas beliau, bagi menyokong pelaksanaan projek berimpak tinggi itu, kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembiayaan pembangunan perbelanjaan pembangunan untuk membiayai infrastruktur sokongan yang melibatkan tiga komponen.

“Tiga komponen itu ialah laluan khas bonded road, jejambat danlaluan keretapi super line.

“Sehingga 31 Januari lalu juga, pembinaan komponen laluan khas bonded road telah mencatatkan kemajuan 40.25 peratus, manakala komponen jejambat dan laluan keretapi super line masih di peringkat kerja awalan dengan kemajuan fizikal sebanyak 1.41 peratus.

“Pembinaan infrastruktur luaran bagi projek PIP ini dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2024, iaitu selari dengan penyiapan komponen projek PIP yang dibangunkan oleh kerajaan Perlis,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Shahidan, Rafizi berkata, mengenai bekalan kuasa yang dikatakan tidak mencukupi untuk pelaksanaan projek itu, pihaknya akan semak kembali.

Jelas beliau, kelulusan projek itu dibuat kerana ia dibuat mengikut skop dan spesifikasi yang telah diberikan sebelum ini.

“Kalau ia melibatkan perkara baharu yang memerlukan tambahan projek, itu perlu dikembali kepada permohonan peruntukan perbelanjaan pembangunan dan saya pasti semua pihak yang terbabit mahukan projek ini berjaya.

“Saya alu-alukan kerajaan Perlis kalau rasa ada tambahan, kita akan pertimbangkan tetapi ia tertakluk kepada skop yang diluluskan,” katanya.

Beliau juga menjawab mengenai fasa kedua projek itu akan dimulakan selepas fasa pertama siap. – MalaysiaGazette