petronas pendapatan
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz (dua kiri) bersama Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli (dua kanan), Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Liza Mustapha (kanan) membaca buku laporan prestasi kewangan PETRONAS bagi suku keempat dan tahun 2022 pada sidang media di Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Petronas merekodkan pendapatan sebanyak RM375.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, meningkat berbanding RM248 bilion tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh kesan harga yang lebih baik bagi produk utama seiring dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Selain itu, menurut beliau, pendapatan selepas cukai (PAT) turut meningkat kepada RM101.6 bilion tahun lalu berbanding RM50.9 bilion pada 2021.

Petronas turut mencatatkan pendapatan bersih syarikat dengan cukai dan faedah dan ditambah dengan susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM170.7 bilion manakala aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) juga meningkat kepada RM135.3 bilion.

“Pelaburan modal (CAPEX) adalah sebanyak RM50.1 bilion, disumbangkan oleh projek huluan dan hiliran manakala jumlah aset diperkukuhkan kepada RM710.6 bilion setakat 31 Disember 2022.

“Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM401.6 bilion setakat 31 Disember 2022, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang lebih tinggi yang direkodkan pada tahun berkenaan,” katanya dalam sidang media di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Sementara itu, bagi suku tahun keempat 2022, Petronas mencatatkan peningkatan pendapatan kepada RM105.9 bilion berbanding RM76.6 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya, disumbangkan oleh kesan harga yang menggalakkan untuk semua produk dan jumlah jualan yang meningkat.

PAT bagi suku keempat tahun lalu adalah lebih baik pada jumlah RM24.4 bilion dan EBITDA yang direkodkan adalah pada RM40.6 bilion manakala CFFO adalah sebanyak RM52.2 bilion serta CAPEX 22.7 bilion.

Sebagai perbandingan, pada suku tahun keempat 2021, Petronas mencatatkan PAT sebanyak 15.7 bilion, EBITDA berjumlah 28.1 bilion, CFFO 24.1 bilion dan CAPEX RM10.1 bilion.

Tengku Muhammad Taufik menambah, meskipun berlakun ketidaktentuan berpanjangan yang dilihat dalam pasaran sepanjang tahun lalu, Petronas akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin yang tegas dalam melabur semula untuk menyediakan keselamatan tenaga yang diperlukan pada hari ini serta untuk peralihan yang adil dan bertanggungjawab.

“Tenaga kerja Petronas terus dipacu oleh tujuan kami untuk menjadi rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang mempertingkatkan kualiti kehidupan demi masa depan yang mampan.

“Ketahanan mereka membolehkan Petronas mencapai prestasi yang kukuh pada tahun 2022,” katanya.

Menurut beliau, walaupun prestasi tahun lalu membolehkan Petronas memanfaatkan lonjakan minyak dan gas, tempoh yang sama juga memberi isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast