KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa dikasari dan diugut pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan tiga tahun lepas.
Siasatan tersebut dijalankan SPRM terhadap Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar.
Justeru itu, saksi pembelaan Syed Saddiq itu, Siti Nurul Hidayah bertindak membuat laporan polis dan sidang media berhubung insiden itu.
Dakwa Nurul Hidayah, pada mulanya, dia dihubungi oleh seorang pegawai bernama Mohd. Ihsan Sapuan agar memberi keterangan di ibu pejabat agensi berkenaan.
“Ketika siasatan, saya diugut dan dikasari oleh pegawai-pegawai yang melakukan siasatan terhadap saya, lanjutan itu saya telah membuat laporan polis dan mengadakan sidang media mengenainya,” katanya di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid.
Siti Nurul Hidayah mula mengenali Syed Saddiq melalui satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Challenger dan selanjutnya berkhidmat sebagai setiausaha peribadinya ketika beliau menjadi ahli Bersatu pada 2016.
Menjawab soalan pada sesi pemeriksaan balas, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bersetuju beliau dilantik sebagai setiausaha peribadi kerana Syed Saddiq mempercayainya.
Saksi itu kemudian menganggotai Team Syed Saddiq yang ditubuhkan pada 2018 bagi membantu melaksanakan kempen pilihan raya.
Kata Siti Nurul Hidayah, Syed Saddiq mula melakukan gerak kerja khidmat untuk mempromosi diri selaku calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Sepanjang 10 program yang dianjurkan, Syed Saddiq menggunakan wangnya sendiri tanpa bantuan kewangan daripada Armada mahu pun Bersatu,” katanya.
Pada prosiding sebelum ini, Syed Saddiq sendiri pernah memberi keterangan bahawa pendakwaan terhadapnya bermotif politik dendam manakala beberapa sahabatnya diugut oleh pegawai SPRM ketika siasatan dijalankan.
Ketika ini, Syed Saddiq sedang membela diri atas empat dakwaan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Tertuduh didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette