Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Sebanyak 33 kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes penyelewengan Dana Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sepanjang 2021 hingga 2022.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, daripada jumlah itu, 10 kes telah dituduh di mahkamah seluruh negara.

Beliau berkata, siasatan kes itu masih lagi diteruskan dengan beberapa kertas siasatan dalam tindakan arahan lanjut Timbalan Pendakwa Raya.

“Berkenaan isu yang dibangkitkan oleh Ipoh Barat. M. Kulasegaran apa yang boleh dibuat oleh kerajaan untuk mengheret mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan wang Mitra ke mahkamah.

“Di samping itu, kita kita dalam tindakan perlucuthakan terhadap mereka ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau menjelaskan, selain pendakwaan, kerajaan turut melaksanakan beberapa tindakan lain seperti pemeriksaan terhadap kelemahan sistem dan prosedur berkaitan dana Mitra.

Kata Ramkarpal, SPRM juga telah mengemukakan cadangan penambahbaikan dan tindakan sewajarnya bagi menutup ruang dan peluang berlakunya perbuatan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

“Kerajaan dan SPRM mengalu-alukan sekiranya mana-mana pihak mempunyai maklumat rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan berkaitan dengan Mitra untuk tampil membuat laporan,” katanya.

Pada Januari tahun lalu, media melaporkan, SPRM telah menahan 22 individu berhubung kes penyelewengan geran dana MITRA di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Semua suspek ditahan sekitar Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka dalam operasi Mitra 2.0. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast