Ewon Benedick.

KUALA LUMPUR – Seramai 176,426 usahawan gulung tikar selepas pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick memberitahu Dewan Rakyat, jumlah itu ekoran kesan penularan Covid-19 sepanjang 2020 sehingga tahun lalu.

“Seramai 104,785 usahawan gulung tikar menerusi kaji selidik yang dilakukan pada April 2020, Jun 2021 (37,415), Februari 2022 (17,371) dan November 2022 (33,838).

“Kesan jangka panjang Covid-19 dan kenaikan harga barang dilihat menjadi sebab utama usahawan menutup terus operasi perniagaan mereka,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah usahawan gulung tikar sepanjang pandemik.

Jumlah itu adalah hasil empat kaji selidik yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas Covid-19.

Dalam pada itu, Ewon berkata, kebanyakan usahawan terbabit menyatakan kesediaan untuk memulakan semula perniagaan dengan bantuan utama diperlukan mereka adalah dari segi geran, pembiayaan, latihan dan bimbingan keusahawanan.

Oleh yang demikian,  kementerian terus komited membina kelangsungan momentum pemulihan sektor keusahawanan melalui intervensi bersasar di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023 yang mengandungi 185 program dan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 543,080 usahawan dan bakal usahawan.

“Kementerian juga akan meningkatkan program libat urus secara bersemuka untuk lebih responsif terhadap keluhan usahawan di lapangan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan efektif.

“Selain itu, usahawan turut disaran supaya melayari platform sehenti dalam talian, MyAssist MSME bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam talian daripada kaunselor perniagaan, perkhidmatan padanan perniagaan, peluang memasarkan produk dan perkhidmatan serta maklumat mengenai bantuan yang ditawarkan pelbagai agensi pembangunan keusahawanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi membantu usahawan yang berdepan masalah pengurusan kewangan serius dan berisiko muflis, kementerian bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk Program Intervensi Peluang Kedua.

“Pada tahun lalu, seramai 664 usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 40 usahawan dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas INSKEN selama empat bulan yang bermula pada 17 Oktober 2022,” katanya. – MalaysiaGazette