Dua beradik pengarah syarikat Revenue Group Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen atas dakwaan melupuskan harta tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah syarikat pada lima tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Dua beradik yang juga pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan melupuskan harta tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Revenue Group Berhad lima tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Ng Shih Chiow, 50 dan Ng Shih Fang, 47 hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka  yang Pengarah Revenue Group Berhad didakwa bersubahat menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad melupuskan harta iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vellfire milik syarikat itu tanpa resolusi ahli lembaga pengarah.

Pelupusan yang dibuat dengan mendaftarkan kereta tersebut atas nama Ng Shih Fang itu didakwa dilakukan mereka di Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lot 14264, Jalan Genting Kelang, Setapak, pada 3 Oktober 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan denda, hukuman penjara tidak kurang enam bulan maksimum lima tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam mewakili kedua-dua tertuduh, Amer Hamzah Arshad memohon anak guamnya dibenarkan bon jaminan sendiri atas alasan sudah memberi kerjasama baik ketika siasatan dilakukan.

“Kedua-dua anak guam tiada risiko melarikan diri kerana ada isteri dan anak di negara ini. Mereka hadir ke mahkamah untuk membersihkan nama daripada pertuduhan dan mempertahankan syarikat milik mereka,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes.

Hakim Azura juga menegaskan, jika tertuduh gagal mengikuti arahan mahkamah, jaminan akan ditarik semula dan dikenakan syarat tamabahan. – MalaysiaGazette