KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia sedang meneliti semua langkah sedia ada untuk menentang pihak penuntut yang mendakwa waris Kesultanan Sulu dalam usaha memelihara kedaulatan negara.
Semakan lanjut juga sedang dibuat untuk menentukan sekiranya mana-mana daripada lapan penuntut itu mempunyai pertalian, hubungan kekeluargaan atau waris kepada kumpulan pengganas Royal Sulu Forces (RSF) yang telah dihukum oleh mahkamah dalam kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah.
Menurut kenyataan Sekretariat Khas Sulu, RSF ini telah pun diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak April 2022.
Kata kenyataan itu, tindakan undang-undang yang telah diambil oleh penuntut-penuntut sehingga kini terutamanya timbang tara komersial yang telah dijalankan adalah tidak wajar dari segi perundangan.
“Malah telah mencabar kedaulatan negara secara langsung dan sebarang tindakan yang telah diambil oleh penuntut ini melalui timbang tara komersial pada masa kini adalah bersifat mala fide, memandangkan pihak Sulu pada tahun 1939 pernah menghadap ke Mahkamah Tinggi Borneo Utara untuk pertikaian yang terbangkit pada masa itu.
“Kerajaan Malaysia menegaskan, hak dan tuntutan penuntut ini adalah tidak sah, telah terbatal dan ditamatkan melalui pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri (self-determination) oleh rakyat Sabah melalui perundingan Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 serta pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963,” kata kenyataan hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik wakil kerajaan Malaysia ke Eropah termasuk Perancis bagi mengendalikan kes tuntutan kumpulan Sulu membabitkan beberapa aset milik negara.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, beliau juga turut serta dalam pengendalian kes itu bersama Azalina.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan Malaysia juga ingin menegaskan perkara-perkara seperti, Perjanjian 1878 yang telah dijadikan asas untuk timbang tara yang dijalankan di Sepanyol dan Perancis tidak mempunyai sebarang klausa timbang tara dan bukan sebuah kontrak komersil.
Perkara seperti pertikaian yang terbangkit di sini, melibatkan kedaulatan negara dan Malaysia tidak pernah pada mana-mana ketika mengetepikan kekebalan kedaulatannya.
Begitu juga perkara seperti, penimbang tara tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibawa oleh penuntut.
Perkara itu, kata Sekretariat Khas Sulu, adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah bagi pihak kerajaan Malaysia pada 14 Januari 2020.
Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan negara. – MalaysiaGazette