ALOR GAJAH – Seorang lelaki Orang Asli ditemukan lemas pagi ini selepas dilaporkan hilang ketika menjaring ikan di sebuah lombong bekas kolam ikan di Solok Menggong, Machap Umboo petang semalam.
Mangsa, Jerrey Juli, 34, ditemukan di dasar lombong berkenaan kira-kira pukul 9 pagi tadi oleh pasukan penyelamat di air (PDPA) yang melakukan operasi pagi tadi.
Isteri mangsa, Selipang Sajan, 30 berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam ketika dia bersama suami, dua anaknya berusia enam dan 10 tahun serta adik iparnya mahu mencari ikan.
“Waktu itu, air lombong memang tak dalam cuma tapi bila sampai ke tengah tiba-tiba dalam beberapa langkah suami terus hilang.
“Kami sangkakan waktu itu dia menyelam tapi lepas lebih 40 minit kami pelik apabila suami tak timbul-timbul dan berusaha mencarinya namun gagal dan terpaksa menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menyangka, rutin suaminya itu sejak lebih 10 tahun lalu berakhir tragedi hari ini walaupun dia yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu sudah biasa dengan paras air dan kedalaman lombong berkenaan.
“Memang suami sudah biasa dengan kawasan lombong bekas kolam ternakan ikan itu sejak lebih 10 tahun lalu, sebab itu saya tak sangka dia boleh lemas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan mayat mangsa ditemui lemas pukul 9.15 tadi dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette