Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan bela diri di atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Prosiding membela diri atas dakwaan subahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditutup hari ini.

Peguambela yang mengetuai pasukan pembelaan Syed Saddiq, Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah, pihaknya sudah selesai dan mahu menutup kes sejurus selepas empat keterangan saksi diperdengarkan sepanjang prosiding bermula pada 22 Februari lepas.

Pagi ini, saksi terakhir, bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah selesai memberikan keterangan saksinya serta telah disoal balas pendakwaan.

Antara saksi dipanggil memberikan keterangan bagi Ahli Parlimen Muar itu adalah bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz dan Siti Nurul Hidayah serta Bekas Ketua Penerangan ARMADA, Ulya Aqamah Husamudin termasuk dirinya sendiri.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian menetapkan 10 dan 11 April ini untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan dan memerintahkan hujahan bertulis difailkan sebelum 3 April ini.

Pada 28 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu perlu membela diri berhubung empat pertuduhan berkaitan RM1.12 juta dana parti Bersatu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid ketika itu memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq itu dalam empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Syed Saddiq itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Untuk itu, Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette