KUALA LUMPUR – Sebanyak 18,740 unit kuarters guru daripada 47,947 unit yang disediakan kepada kumpulan pendidik tidak dihuni.
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying yang mendedahkan angka tersebut di Dewan Rakyat berkata, antara punca kuarters berkenaan tidak menjadi pilihan guru kerana terletak di lokasi yang tidak sesuai.
“Kebanyakan lokasi kuarters tidak berdekatan dengan sekolah. Jadi kebanyakan guru yang mengajar di sekolah tersebut membuat keputusan tidak duduk di kuarters.
“Kita akan merancang tindakan seterusnya bagi memastikan kadar penghunian kuarters akan terus dioptimumkan,” kata Hui Ying.
Beliau menjawab soalah tambahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Roslan Hashim dalam sesi soal jawab yang berasa sedih melihat kuarters guru yang disediakan kosong.
Beliau turut mempersoalkan mengapa guru tidak diwajibkan untuk menduduki kuarters yang disediakan sepertimana peraturan yang dikenakan terhadap polis.
Menurut Roslan, terdapat juga kuarters yang berusia hampir 100 tahun dibiar usang hingga memberikan imej tidak elok dan mengundang bahaya.
Menjawab soalan asal daripada Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang bertanya jumlah kuarters guru dan perancangan untuk baik pulih dan selenggara kuarters guru yang uzur, Hui Yin berkata, KPM telah melantik perunding hartanah.
Perunding tersebut akan menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni milik KPM di seluruh negara.
Skop kajian adalah merangkumi cadangan penyelesaian bagi mengoptimumkan kuarters kosong di seluruh negara dan kajian dijangka selesai pada akhir April 2023
Sementara itu Hui Yin berkata, KPM memberi fokus kepada kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan kuarters guru yang didiami berdasarkan tahap kerosakan yang kritikal.
Ini termasuk kerosakan bumbung, pendawaian elektrik, perpaipan, kerosakan tandas, kumbahan dan kerosakan struktur bangunan.
Kerosakan kuarters yang melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Manakala, kerosakan kuarters yang tidak melibatkan struktur akan dilaksanakan oleh KPM.
“Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh JKR dan KPM bagi memastikan skop kerja dipatuhi mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” kata Hui Yin.-MalaysiaGazette