MCW akta pendanaan politik GLC komisen judi

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli politik yang dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti diberikan latihan pengukuhan integriti bagi memastikan masalah salah guna kuasa dapat dikekang.

Badan Pemerhati Rasuah (MCW) berpandangan, kuasa yang diberikan kepada mereka perlu dipantau dengan teliti serta pelbagai prosedur operasi standard (SOP) mesti diperkenalkan dan diperketatkan.

“Mereka perlu diberikan taklimat khusus berkenaan limitasi kuasa sebagai rujukan dan garis panduan pentadbiran. Nilai integriti diri mereka juga perlu diuji dan diperkasakan.

“Pelantikan terkini kerajaan ini pasti akan diteropong secara terperinci kerana mereka pernah menyatakan untuk tidak mahu lantikan politik menerajui GLC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lantikan dua ahli politik dari UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilantik menjadi pengerusi GLC.

Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu manakala Ahmad Jazlan dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra Berhad.

Pada masa yang sama, MCW berpendapat, ahli politik yang mempunyai pengalaman dan kepakaran serta kelulusan profesional wajar dilantik mengetuai GLC jika tiada calon lain yang lebih berkelayakan.

MCW menambah, ahli-ahli politik berkenaan pasti mempunyai akses dan sumber penting seperti kawalan dan pengaruh politik yang diperlukan untuk menjadikan GLC berjaya.

“Selain itu, lantikan ini juga dapat memastikan bahawa keputusan-keputusan GLC selaras dengan dasar kerajaan dan objektif nasional,” jelasnya. – MalaysiaGazette