Ahli Dewan Negeri Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi

SHAH ALAM – Sesiapa pun dilantik sebagai ketua pembangkang dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) bukan satu isu.

Sebaliknya pendirian kerajaan Negeri Selangor mengenai perkara itu lebih penting ketika ini, kata ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri perlu menentukan kedudukan UMNO-Barisan Nasional (BN) selaras dengan perkembangan politik dalam Kerajaan Persekutuan.

“Kita faham dengan keadaan politik pada hari ini di mana UMNO-BN dan Pakatan Harapan (PH) sebahagian daripada kerajaan (Persekutuan) pada hari ini, hakikat ini tidak boleh kita nafikan.

“Apa pendirian kerajaan Negeri Selangor, sama ada UMNO-BN bersama dengan kerajaan atau pun tidak? Pendirian ini harus dijawab oleh kerajaan negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, ADUN Bukit Antarabsangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan Ahmad Yunus dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baharu di Selangor.

Ini kerana ketua pembangkang sedia ada iaitu ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail daripada UMNO-BN kini bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak lagi efektif dalam menjalankan tugas.

Tambah Ahmad Yunus, walaupun Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 1965 tidak mewajibkan pelantikan ketua pembangkang, namun peranannya penting untuk melakukan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Dalam sistem (demokrasi), perlu ada ketua pembangkang supaya ia (proses demokrasi) lebih baik dari segi semak dan imbang.

“Walaupun dalam Peraturan Tetap kita tidak memestikan (wajib) adanya ketua pembangkang tetapi kita (pernah) tiada ketua pembangkang di Selangor sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak menafikan pemilihan ketua pembangkang perlu menepati beberapa kriteria tertentu termasuk senioriti dan daripada parti yang mendapat majoriti dalam pilihan raya lalu.

“Bagi saya, tak kira siapa pun jadi ketua pembangkang, mungkin perlu dilihat dari segi senioriti, jumlah majoriti parti teramai. Siapa pun (ketua pembangkang), beliau akan mewakili parti semata-mata untuk memastikan proses semak dan imbang dapat berlaku dengan baik.

“Datuk Rizam pun susah juga dia nak berbahas sebagai ketua pembangkang, kalau dia (UMNO-BN) diiktiraf sebagai kerajaan negeri sebagaimana di peringkat kerajaan pusat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. DAP PH SELANGOR dah cukup makan.
    PH SELANGOR tidak perlu UMNO dalam kerajaannya dan menjadi BEBAN PETAKA PH untuk berhadapan PRN tak lama lagi.
    kerajaan SELANGOR PH berfikir bahawa kerajaan Pusat adalah sistem “berpisah” dan tidak melanggar Perundangan dalam pentadbiran Negeri.
    Perlembagaan Malaysia membolehkan Pentadbiran Negeri mengatur ahli DUN menyokong menjadi kerajaan setelah diperkenan oleh Sultan atau Raja atau YDP.
    ahli UMNO jika tahu bahasa makna ini maka ANDA adalah insan bijak dan bukan sebaliknya.

Comments are closed.