Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) diiringi Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin (dua kanan) serta penaja membuat gimik perasmian pada Pelancaran Kempen Klasiknya Raya Mydin di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 15 MAC 2023

SUBANG – Kerajaan bercadang untuk mewujudkan kemudahan pembiayaan pinjaman dan insurans kenderaan khusus untuk golongan B40 di bawah payung Rahmah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sesi libat urus akan diadakan dengan institusi perbankan dan pihak insurans bagi memperincikan inisiatif berkenaan.

“Ideanya sudah ada, untuk seterusnya kita akan adakan sesi libat urus. Begitu juga dengan pihak insurans, mungkin akan ada insurans kita boleh bagi kepada wanita, belia.

“Semalam saya berbincang dengan syarikat insurans, contohnya kereta terpakai yang ada risiko kerosakan besar, mungkin ada insurans Rahmah yang akan kita tawarkan kepada rakyat yang tidak mampu beli kereta baharu, tetapi ada skim perlindungan untuk kereta mereka. Itulah konsep yang kita telah fikirkan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Kempen Klasiknya Raya Mydin di bawah payung Rahmah.

Terdahulu, Salahuddin dalam ucapannya berkata beliau meminta bantuan daripada bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berjumpa dan berbincang dengan bank tempatan.

Ujarnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu telah memberikan kerjasama yang baik kepadanya demi memastikan kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai lagi insiatif di bawah payung Rahmah.

“Zafrul sangat bekerjasama dan menyokong dan usahakan saya berjumpa dengan tokoh-tokoh bank supaya perbincangan dapat dilaksanakan,” jelas beliau.-MalaysiaGazette