Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang memiliki kompaun parkir kenderaan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) boleh mendapatkan potongan pembayaran sebanyak 30 peratus esok.

Ini kerana pihak berkuasa tempatan itu akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan di ruang legar, Tingkat G (berhadapan Padini Concept Store), I-City dari pukul 11 pagi hingga 5 petang, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad.

Beliau berkata, program tersebut turut memberi peluang kepada orang ramai menyalurkan aduan dan permasalahan di kawasan pentadbiran MBSA.

“Pengurangan 30 peratus kompaun parkir kenderaan itu adalah di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007.

’50 pelanggan terawal juga akan menerima botol air percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, MBSA turut menyediakan perkhidmatan penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, kompaun, permohonan ubah suai premis dan sebagainya.

Tambah beliau, pelbagai jabatan dalaman MBSA akan turut menyertai program berkenaan antaranya Jabatan Pelesenan, Jabatan Landskap, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Jabatan Kesihatan Persekitaran. – MalaysiaGazette