KUALA LUMPUR – Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid dilantik secara kontrak sebagai Timbalan Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun lagi berkuatkuasa mulai 16
Mac 2023 hingga 15 Mac 2025.

Beliau yang berusia 60 tahun, sepatutnya pencen tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pelantikan tersebut dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen, memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Muar, Johor.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997. Pada tahun 1998 beliau kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor. – MalaysiaGazette