Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menzahirkan rasa puas hati dengan prestasi kerja Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan exco kerajaan negeri.

Baginda yang memantau prestasi, menyifatkan prestasi dipamerkan mereka baik dan sempurna.

“Walaupun ada yang kurang berpengalaman, mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kebolehan mereka.

“Kalau tidak faham tentang sesuatu perkara, mereka boleh datang dan tanya saya. Pegawai-pegawai tadbir negeri juga ada untuk membantu melicinkan segala tugas dan menyelaras segala program yang hendak dibuat,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut menekankan mengenai pengurusan kewangan kerajaan negeri, mempunyai kewangan kukuh dan tidak menanggung hutang yang banyak.

“Syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri yang berjaya rekodkan lebihan hasil pada tahun lepas berbanding baki defisit pada tahun sebelumnnya.Walaupun lebihan itu tidak besar, sekurang-kurangnya kita tidak belanja lebih daripada hasil yang kita kutip.

“Setiap jabatan juga mestilah patuh kepada arahan perbelanjaan yang berhemah dan langkah berjimat cermat serta pastikan semua perolehan dibuat dengan telus, tekun dan mengikut konsep ‘value for money‘,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Ibrahim menyifatkan gelaran pembangkang yang diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di pihak bukan kerajaan adalah kurang sesuai.

Baginda bertitah ia kerana mereka bukan hanya membangkang segala cadangan pihak kerajaan, tetapi mereka bertanggungjawab menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

“Peranan mereka bukan hanya membangkang segala cadangan pihak kerajaan, tetapi mereka bertanggungjawab menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

“Namun begitu, janganlah pula ada sikap balas dendam atau suka mencari salah kerajaan sahaja,” titah baginda.

Baginda juga bertitah tiada masalah dengan pihak pembangkang dan mereka boleh menghadap dan memberi pendapat serta idea mereka kepada Sultan Ibrahim.

“Saya amat berharap agar keadaan politik yang stabil ini terus dikekalkan dan semua pihak bekerjasama demi rakyat dan Johor,” titah baginda. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast