Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memetik kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung program ‘Jom Ziarah Gereja’, dipetik secara tidak adil atau tidak bermaruah dengan menggunakannya sebagai ‘senjata politik’.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas amat berdukacita dengan perkara itu dengan mendakwa, tindakan Hannah itu bertujuan untuk menimbulkan pertelagahan antara Pas dengan Bersatu yang merupakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Pas amat dukacita apabila Menteri KBS memetik kenyataan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim dalam jawapan beliau di Parlimen (semalam) sebagai sandaran atau justifikasi kepada program berkenaan.

“Adalah amat nyata apa dipetik (kenyataan) tersebut dibuat tanpa menjelaskan konteks ianya dibuat, dan tanpa penerangan tepat berhubung kenyataan-kenyataan itu sama ada oleh individu terbabit secara langsung atau pihak yang mewakili mereka.

“Pas ingin menyatakan apa yang paling penting adalah kenyataan-kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan.

“… bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Takiyuddin berkata, tindakan Hannah itu menjadi ‘lebih terserlah’ motifnya apabila beliau tidak memberi ruang kepada wakil Pas ataupun Bersatu untuk memberi respons terhadap kenyataannya itu.

“Apatah lagi menteri berkenaan (Hannah) tampak bercakap tentang peri pentingnya keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat, seolah-olah ia merupakan subjek eksklusif yang tidak terpakai atau melibatkan pihak lain yang dilihat tidak sealiran dengan beliau,” ujarnya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, pada dasarnya Pas menyambut baik semua usaha mewujudkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini sebagai suatu matlamat murni yang perlu dihayati oleh semua golongan.

“Dalam hal berkaitan, Pas menggesa agar program tersebut sekali-kali tidak merupakan program Evangelisme dan ia juga tidak akan melibatkan belia Islam sebagaimana jaminan yang diberikan oleh Hannah Yeoh di Parlimen Selasa lalu.

“Selain itu, semua pihak termasuk Menteri berkenaan perlu akur tentang kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan oleh undang-undang terhadap penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam,” katanya.

Justeru, katanya lagi, Pas menegaskan program itu tidak sewajarnya diteruskan jika ia tidak dapat mencapai hasrat yang dinyatakan.

Malah beliau berkata, ia berkemungkinan meluaskan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud dan boleh pula mengundang kepada bantahan terbuka yang jauh lebih membimbangkan.

Semalam, Hannah ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat menjawab tuduhan mendakwa beliau menyebarkan agama Kristian kepada golongan muda Muslim menerusi program dianjurkan sebuah syarikat dengan kerjasama kementeriannya.

Beliau memetik kenyataan Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas pada 2 Oktober 2018 bahawa ia tidak menjadi kesalahan untuk Muslim mengunjungi tempat ibadat agama lain, dengan syarat mereka tidak menyertai upacara keagamaan atau memakai pakaian seperti agama terbabit.

Malah, beliau turut memetik kenyataan Presiden PAS, ketika lawatannya ke sebuah gereja di Miri, Sarawak pada 2015 bahawa ‘pertukaran’ idea adalah menarik bagi memupuk persefahaman lebih baik dalam masyarakat majmuk, terutama di negeri Bumi Kenyalang itu. – MalaysiaGazette