Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin

KUALA LUMPUR – Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan ini, Agrobank melancarkan Kempen Bazar Ramadan 2023 dengan menyediakan dana pembiayaan sehingga RM75,000 kepada peniaga dan pelanggan mikro yang memerlukan bantuan kewangan untuk menyokong perniagaan berasaskan makanan mereka.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kempen yang berlangsung sehingga 16 April ini terbuka kepada semua pelanggan baharu dan pelanggan sedia ada Agrobank yang ingin berniaga di bazar Ramadan.

”Antara golongan tumpuan adalah golongan asnaf, mereka yang diberhentikan kerja serta para graduan yang tidak bekerja tetapi berhasrat untuk mengusahakan perniagaan
berasaskan makanan.

“Kempen ini adalah terbuka untuk mereka yang ingin mula berniaga di bazar Ramadan sempena bulan Ramadan ini, tetapi memerlukan bantuan kewangan agar boleh berniaga.

”Selain itu, individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan peniaga yang berdepan perubahan negatif ekonomi dalam perniagaan mereka juga merupakan golongan fokus yang kami galakkan untuk mengambil peluang untuk memohon dan menyertai kempen ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di bawah kempen ini, Agrobank menawarkan dana pembiayaan di bawah produk PEMULIH NewBiz yang menawarkan had pembiayaan maksimum sehingga RM5,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum 60 bulan termasuk enam bulan moratorium.

”Bagi yang memerlukan sokongan pembiayaan yang lebih besar boleh memohon produk PEMULIH Kredit Mikro kami yang menawarkan had pembiayaan maksimum sehingga RM75,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum 108 bulan termasuk enam moratorium,” tambah beliau.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank yakin terdapat ramai peniaga yang masih menghadapi kesukaran untuk bangkit semula daripada kesan ekonomi semasa dan juga kesan pendemik Covid-19.

Mereka sama ada boleh memohon dana pembiayaan PEMULIH NewBiz untuk membeli telefon bimbit baharu atau lain-lain keperluan untuk menjalankan perniagaan dalam talian, atau boleh memohon PEMULIH Kredit Mikro untuk menambah baik perniagaan dengan membeli peralatan memasak seperti mesin membuat kuih atau pembelian stok bahan mentah bagi meningkatkan produktiviti keluaran untuk memenuhi permintaan pelanggan, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.