BANGI – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 15 minit masa beramah mesra bersama lebih 150 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sambil menikmati juadah Menu Rahmah.
Perdana Menteri yang tiba jam 1.19 tengahari itu sempat menjamah nasi putih bersama lauk ikan keli goreng dan sayur kangkung di Kafeteria Randau Rasa.
Turut hadir, Datuk Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi; Pengerusi Lembaga Pengarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd Razak; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff dan pegawai-pegawai kanan UKM.
Selepas makan tengahari Anwar sempat ‘berselfie’ bersama-sama pelajar-pelajar UKM.
Beliau kemudiannya ke Majlis UKM diiringi oleh Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang lengkap berbaju Melayu mendengar khutbah bertajuk “Ekstremis Agama” yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Dr. Hamidi Ishak.
Selepas menunaikan solat Jumaat, beliau meluangkan masa bersalaman dan berbual ringkas dengan jemaah, sebelum beredar pulang. – MalaysiaGazette