Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited untuk menghulurkan bantuan bagi operasi membantu mangsa banjir yang telah melanda 10 daerah di negeri Johor iaitu Segamat, Kluang, Muar, Kota Tinggi, Johor Bahru, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Tangkak dan Mersing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga 17 Mac 2023, KPT melalui Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) telah menggerakkan seramai 1,442 sukarelawan yang terdiri daripada 459 staf dan 983 pelajar dari seluruh negara bagi mengedarkan 3,081 Bakul Rahmah KPT serta keperluan asas seperti pakaian, kit kebersihan dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM345,100.00 keseluruhannya.

KPT melalui Bridged Sukarelawan IPT juga telah dimobilisasikan bagi membantu mangsa terutama dalam kerja pembersihan bangunan awam seperti sekolah dan masjid dengan bekalan kelengkapan 80 unit waterjet, 21 buah waterpump dan 15 unit generator.

Dalam operasi bantuan ini, KPT juga telah menyediakan sebanyak 29 buah bas/coaster, 36 buah SUB/4WD, 27 buah van, 10 buah lori dan dua buah bot dan menubuhkan pasukan khas untuk memberikan perkhidmatan bantuan sokongan psikologi kepada mangsa yang terkesan secara individu mahupun berkelompok.

Melalui semangat kerjasama dan keprihatinan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat turut dijadikan pusat penempatan sukarelawan Southern Volunteer sebagai kemudahan penginapan bagi 223 orang sukarelawan yang terdiri daripada enam agensi kemanusiaan dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan penyampaian bantuan kepada mangsa banjir.

“Selain itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Perwira di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Parit Raja turut telah dibuka bermula 8 Mac 2023 dan masih beroperasi sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pusat ini telah menempatkan 2,554 orang mangsa tempatan yang terdiri daripada lebih 300 keluarga dengan kelengkapan tempat tidur, makanan, bekalan air bersih dan keperluan asas lain.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 830 warga universiti yang terdiri daripada 776 pelajar dan 54 kakitangan di kesemua 20 universiti awam telah terkesan daripada banjir kali ini.

Khaled menambah, memandangkan pelajar kini dalam tempoh cuti semester dan sedang berada di kampung halaman bersama keluarga masing-masing, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) adalah tidak terjejas, namun kesesuaian pelaksanaannya akan dibuat sekiranya situasi banjir masih berterusan apabila semester dibuka semula kelak.

“KPT akan terus memantau keadaan banjir kali ini dengan semua agensi yang berkaitan dan adalah dinasihatkan agar semua pelajar dan kakitangan IPT yang terkesan agar sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast