Keadaan disekitar kawasan sekolah yang bersalut lumpur akibat ditenggelami banjir berikutan hujan berterusan ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan Chaah, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet telah memutuskan semua jentera kementerian untuk melibatkan diri dalam program dan projek pasca banjir.

Menurut Anwar, bebanan yang ditanggung oleh mangsa tidak mampu untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri Johor secara bersendirian.

Dalam perkembangan terkini, Perdana Menteri berkata, seramai 16,167 ketua isi rumah di Johor telah menerima bantuan wang ihsan akibat bencana banjir yang melanda negeri itu.

“Ada peruntukan tambahan RM150 juta (dari) Kementerian Kewangan disegerakan dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah turun dan mengenalpasti beberapa projek bersama dengan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Johor.

“16,167 ketua isi rumah telah menerima RM1,000 bagi setiap bantuan wang ihsan.

“Saya nak menyeru rakan-rakan badan bukan kerajaan, universiti, sukarelawa turun dalam tempoh singkat untuk membantu rakan-rakan dan keluarga kerana beban mereka sangat besar untuk dikendali jentera di Johor,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Menurut Anwar, jumlah mangsa banjir di seluruh negara dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika ini mencecah 82,831 orang.

Di Johor sahaja seramau 26,879 mangsa berada di 102 PPS.

“Saya telah hubungi Menteri Besar Selangor untuk beri bantuan segera namun dalam tempoh yang singkat ini memerlukan sukarelawan yang sangat ramai dan keperluan asas yang lain seperti pancutan air akan ditambah kerajaan,” rayu Anwar.-MalaysiaGazette