Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafah ketika hadir semesa Membuat Lawatan Rasmi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Auditorium Hospital Kuala Lumpur (HKL). Foto MUHD NA’IM, 17 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan peruntukkan khas kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi membangunkan sistem pendigitalan rekod pesakit.

Ketika ini, hospital berusia 153 tahun itu bergantung kepada kaedah manual bagi menguruskan hampir 16,000 rekod pesakit dalam tempoh sehari yang ditempatkan di Wisma Kayu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, menerusi langkah pendigitalan itu, ia dapat membantu HKL menguruskan dokumentasi pesakit dengan lebih lancar dan efisen.

“Jadi kita sudah dengar tadi betapa (uzur) HKL ini, sebenarnya kalau kita dapat mendigitalkan (sistem), itu sangat membantu. Insya-Allah kita akan memberikan peruntukan khas pendigitalan di HKL,” katanya pada pemberita dalam sidang media.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat daripada Pengarah HKL, Datin Dr Rohana Johan berhubung  perkembangan hospital itu serta merasmikan Coffee Book Covid-19 HKL, di sini.

Dalam taklimat itu, antara perkara dibangkitkan Dr Rohana adalah pengurusan pesakit secara manual dan menaruh harapan agar usaha untuk mendigitalkan sistem di HKL dapat dilaksanakan segera.

Biarpun ia tidak dilakukan secara menyeluruh, Dr Rohana berharap KKM dapat membantu pelaksanaan pengurusan rekod pesakit di HKL secara separa atau hibrid.

“Wisma Kayu ini menempatkan rekod-rekod pesakit. Di HKL dalam satu hari, kita boleh m lihat hampir 16,000 rekod pesakit bergerak.

“Sebagai pengarah, saya berharap sebelum saya bersara, rekod pesakit di hospital ini didigitalkan. Kalau tidak semua, separuh agar kita tidak perlu membawa lagi rekod pesakit secara manual,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Rohana turut mengetengahkan isu berkaitan keadaan kenderaan hospital yang dilihat sudah lama dan uzur.

“Semua kenderaan kita jaga dengan baik. Bagaimanapun, daripada 60 kenderaan…lebih kurang tiga suku daripadanya telah ‘menopaus’. Hanya dua tiga (kenderaan) masih lagi ‘remaja’ atau anak dara,” ujarnya.

Selain itu, Dr Rohana turut memaklumkan isu kesesakan pesakit di Lembah Klang turut mempengaruhi pengurusan katil di HKL.

Ini kerana, terdapat waris pesakit terpaksa datang selepas waktu bekerja untuk mengelak kesesakan lalulintas bagi mengambil pesakit di HKL, sekali gus menganggu ketersediaan katil di fasiliti terbabit.

“Pengurusan katil, unit kejururawatan telah diberikan autoriti penuh bagi memastikan kita mendapatkan katil secepat mungkin.

“Kita tahu warga kota bukan senang untuk balik (rumah). Mereka hanya dapat (ambil pesakit) lepas waktu bekerja. Jadi (ketersediaan) katil tidak kosong. Itu satu fenomena di Lembah Klang,” jelasnya.

Sementara itu, dalam program yang sama Dr Zaliha mengumumkan peruntukkan geran sebanyak RM1 juta kepada HKL untuk penambahbaikan aset

“Bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan perkhidmatan di HKL ini dapat diteruskan, RM1 juta peruntukkan akan diluluskan bagi perolehan aset di HKL ini.

“Sebenarnya HKL ini memerlukan lebih RM1juta tapi buat masa sekarang kita luluskan jumlah itu adalah geran yang kita berikan untuk aset inventori HKL,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast