Pada 6 Mac 2016 saya mengeluarkan rencana saya bertajuk “Pembahagian Pusaka: Masalah Serius Kesan Faraid PerluDitangani”. Pada 18 April 2020, saya mengeluarkan rencana saya bertajuk “Kesan Faraid: Apa Penyelesaiannya?” bersama-sama naskhah dalam Bahasa Inggerisnya “Effects Of Faraid: What Is The Solution?” yang “Ditujukan kepada mereka yang berani berfikir”.
Ketiga-tiga rencana itu diterbitkan dalam kedua-dua laman web saya, beberapa portal berita, akhbar dan buku saya. Ia dihantar juga kepada Menteri dan jabatan berkenaan. Hanya seorang individu, saya percaya seorang usahawan respond, bersetuju dengan cadangan saya itu.
Dalam tahun 2021, saya memberinya kepada usahawan muda anak seorang bekas Menteri Sarawak yang menziarah saya. Beberapa hari kemudian beliau WhatsApp saya, “Saya tidak fikir ada Perdana Menteri yang berani menyentuhnya.” Itulah jawapan kepada ketiadaan response daripada ahli-ahli politik.
Saya percaya, (hampir) tidak ada Perdana Menteri yang berani atau sanggup menyentuh isu ini kerana takutkan penentangan pengundi-pengundi Melayu/Islam. Tetapi, saya menaruh harapan jika ada seorang Perdana Menteri yang lebih berkemungkinan daripada yang lainnya untuk melakukannya, DS Anwar Ibrahim adalah orangnya.
Eloklah saya bentangkan masalah yang kita hadapi dan cadangan saya untuk mengatasinya dahulu.
Masalah
Dalam rencana ini kita hanya tumpukan kepada pusaka hartanah. Bagi orang Islam di Malaysia, pembahagian pusaka adalah mengikut hukum faraid. Bilangan penerima pusaka danpemilik pusaka itu akan bertambah dari satu generasi ke satu generasi menjadikan bahagian seseorang itu semakin kecil.
Akibatnya, satu lot tanah yang kecil itu akan, selepas beberapa generasi, mempunyai pemilik bersama tidak berdaftar berpuluh-puluh orang. Mereka tidak memohon perintah pembahagian pusaka kerana bahagian masing-masing terlalu kecil dan tidak ada sesiapa di antara mereka yang sanggup mengumpulkan semua waris-waris itu untuk berulang alik ke pejabat tanah dan mengeluarkan perbelanjaan untuknya.
Walaunpun kedudukan tanah itu sesuai untuk pembangunan, katakanlah perumahan, ia tidak boleh dibangunkan kerana pemilik berdaftar telah meninggal dunia beberapa lama dahulu dan tanah itu tidak boleh dijual dan dipindah milik.
Walaupun, setiap satu pusaka itu kecil keluasannya, tetapi apabila dicampur pusaka berjuta-juta orang Melayu/Islam, maka jumlahnya adalah besar. Bayangkan sahaja keluasan sawah padi di kawasan Sabak Bernam Selangor, di kawasan Kerian Perak, Seberang Perai Utara, Kedah Utara, Perlis dan Kelantan yang luas terbentang. Tetapi, terfikirkah kita berapa juta orangkah pemiliknya? Saya percaya hampir kesemua tanah itu mempunyai masalah seperti yang saya sebutkan itu.
Cadangan
Buat permulaan, reformasi ini terpakai kepada tanah pertanian sahaja. Tanah pertanian ertinya tanah untuk bercucuk tanam seperti padi, getah dan lain-lain dan tidak ada rumah kediaman dibina di atasnya.
Saya cadangkan, kerajaan mengehadkan bilangan pemilik berdaftar bagi satu lot tanah pertanian tidak boleh lebih daripada satu orang bagi satu ekar ke bawah. Ertinya, jika keluasan tanah itu adalah satu ekar ke bawah, seorang. Jika keluasan lot itu kurang daripada dua ekar, juga seorang. Jika keluasan lot itu kurang daripada tiga ekar tetapi lebil dari dua ekar, dua orang dan seterusnya.
Dalam pembahagian pusaka, jika bilangan waris yang berhak melebihi had itu:
Alasan-alasan bantahan
1. Menyalahi Syarak
Saya fikir masalah yang paling ditakuti oleh pemimpin-pemimpin politik untuk menangani masalah ini ialah mereka takut dituduh perbuatan itu menyalahi syarak. Penentang reformasi ini akan mengatakan faraid adalah cara pembahagian pusaka orang Islam yang ditetapkan Allah dalam al-Quran. Ia tidak boleh diubah.
Hujah saya ialah kita tidak mengubah hukum faraid; kita tidak mengubah waris-waris yang layak menerima pusaka; kita tidak mengubah bahagian yang layak diterima oleh seseorang waris; oleh itu ia tidak menyalahi syarak. Seseorang waris yang berhak menerima pusaka tetap berhak menerimanya, mengikut bahagian yang dia layak menerimanya. Cuma bezanya, jika bahagian pusakanya itu kurang daripada satu ekar tanahpertanian, dia akan menerima bahagiannya dalam bentuk wang.Dia boleh memiliki kesemua tanah itu jika dia sanggup membeli bahagian waris-waris lain.
Jika ia menyalahi hukum faraid sekali pun, saya menghujahkan bahawa ia dibenarkan syarak kerana:
Jika semua waris bersetuju, ia tidak menjadi isu.
Jika ia tidak dipersetujui oleh waris-waris, saya menghujahkan kerajaan dibenarkan syarak untuk melakukannya atas alasan maslahah (kepentingan awam). Sebenarnya, kita telah melakukan hal seperti itu.
Misalnya:
Ini bercanggah dengan pendapat sebelumnya bahawa pemberian ibra’ adalah budibicara institusi kewangan. Lihat juga“Application and Development of Ibra’ in Islamic Banking in Malaysia” oleh Tun Abdul Hamid Mohamad dan Dr. Adnan Trakic yang boleh didapati dalam laman web saya).
Perlu diingati bahawa, pertama, isu syariah yang dibincangkan di sini hanyalah sekadar pemahaman saya, bukan seorang ulamak. Kerajaan Persekutuan bolehlah mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengenainya.
Kedua, cadangan ini masih di peringkat awal. Ia perlu dihalusi bukan sahaja dari segi hukum, tetapi juga dari segi undang-undang, ekonomi dan pentadbiran. Mungkin idea yang lebih baik akan timbul.
2. Penentangan tuan-tuan tanah dan waris-waris atas alasan-alasan lain
Saya tidak fikir ada alasan yang kuat untuk menentang reformasi ini setelah alasan syariah dipatahkan. Waris-waris itu sendiri merungut mengenai masalah yang dihadapi mereka sekarang, terutama sekali jika terdapat satu dua orang yang keras kepala. Waris-waris yang hanya mempunyai bahagian pusaka yang kecil yang biasanya tidak akan melihat hasilnya akan menerima habuan. Mereka juga lebih berpelajaran dan pandai memperolehi maklumat untuk kepentingan diri mereka sendiri yang bererti mereka akan mengambil faedah daripada reformasi ini. Orang yang mendapat faedah daripadanya tidak akan menentang, lagi banyak yang mendapat faedah, lagi sedikit yang akan menentang.
Penyelesaian masalah rumit dengan reformasi mudah
Kerajaan hanya memerlukan majoriti mudah untuk membuat undang-undang untuk melakukan reformasi ini. Kerajaan (Parlimen) hanya perlu membuat sedikit pindaan kepada undang-undang berknaan. Biarlah Peguan Negara menentukannya. Saya yakin dengan majoriti seperti sekarang pun kerajaan boleh melakukannya. Tidak ada sebab mengapa parti-parti dalam kerajaan tidak hendak menyokong. Malah,pembangkang juga sepatutnya menyokong.
Tanah orang bukan Islam
Walaupun masalah ini tidak terlalu serius kepada orang bukan Islam, reformasi ini boleh dipanjangkan kepada tanah orang bukan Islam dalam keadaan yang serupa supaya ia menjadi satu dasar kebangsaan. Saya tidak nampak apa-apa sebab bagi mereka membantahnya.
Pelaksanaan permulaan
Saya fikir, buat permulaan, eloklah kita mulakan dengan kes-kes permohonan pembahagian pusaka supaya kita tidak terpaksa menyediakan banyak pegawai baru untuk mengurusnya dan modal yang banyak dengan segera untuk membeli tanah-tanah itu. Setiap hari perbicaraan pembahagian pusaka berlaku di Mahkamah Tinggi dan pejabat tanah. Apabila waris-waris mendengar bahawa mereka boleh mendapat wang daripada bahagian pusaka mereka, mereka sendiri akan mendapat maklumat mengenainya dan membuat permohonan.
Kesimpulan
Saya prcacaya, jika reformasi ini dilakukan ia akan menjadi satu reformasi tanah yang aman dalam sejarah; yang pertama bagi menangani akibat faraid, tanpa menimbulkan isu syariah; yang menunjukkan bahawa syariah boleh develop dan sesuai dilanksanakan di mana-mana walaupun beribu tahun kemudian. Perdana Menteri yang berani berfikir dan melaksanakannya akan diingati hinggga bila-bila.
—TUN ABDUL HAMID MOHAMAD Mantan Ketua Hakim Negara.