Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bercakap pada sidang media mengenai keputusan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia 2023-2026 di Menara Dato’Onn, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan UMNO mendedahkan pemilihan parti kali ini menyaksikan perubahan pucuk pimpinan di peringkat bahagian, membabitkan 54 muka baharu dari seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebanyak 10 dari 26 UMNO Bahagian di Johor yang melakukan perubahan pucuk pimpinan tersebut semalam.

Beliau berkata, perubahan itu menunjukkan UMNO semakin dinamik dan perwakilan kini semakin berani melakukan perubahan mengikut saluran yang betul.

“Terdapat 54 muka baharu di peringkat Ketua Bahagian, menunjukkan bagaimana dinamiknya perubahan politik dalaman UMNO itu sendiri bila kita mengadakan pemilihan.

“Kesemua 54 Ketua Bahagian ini merupakan 29 peratus daripada jumlah bahagian (dari seluruh negara).

“Ia bukan hanya berlaku di satu negeri sahaja, bahkan ia juga berlaku secara keseluruhan (negara),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain Johor, turut menerima Ketua UMNO Bahagian baharu ialah Wilayah Persekutuan (6), Selangor (6), Kedah (5), Kelantan (5), Pahang (5), Perak (4), Perlis (3), Melaka (3), Terengganu (3), Pulau Pinang (2) dan Negeri Sembilan (2).

Dalam pada itu, perkembangan di Johor itu katanya, sesuatu yang menarik apabila kira-kira 38.5 peratus mendapat Ketua UMNO Bahagian yang baharu.

“Macam 10 Bahagian di Johor dari 26 Bahagian, dekat 50 peratus (perubahan), manakala keseluruhannya 29 peratus muka baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Yeap..semuanya dinamik..dari peringkat cawangan sampailah ke peringkat Naib Presiden. Yang tak dinamik dan kekal mcm dinasour ialah Presiden dan Timbalan Presiden. Org kata..kalau kepala dah busuk…sampai ke ekor laa busuknya nanti…

  2. .. belum apa2 sudah ada cai broker yang meraung, kesian tengok, alamat dapur tidak berasap, tahniah Presiden dan Timbalan Presiden yang gigih berusaha membersihkan umno dari petualang dan pengambil peluang, yang perlu di perjuangkan ialah agama, bangsa dan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, bukan tembolok2 perakus kuasa tinggalan saka tua dan abah sakau ..

Comments are closed.