KUALA LUMPUR – Mana-mana bahagian UMNO termasuk sayap parti itu yang berdepan masalah termasuk digantung keputusan perlu melakukan semula pemilihan.
Perkara itu ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, beliau sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad berhubung perkara itu.
“Bahagian yang ada masalah sebegitu, saya berbincang dengan Pengerusi JPU, Tan Sri Shahrir, sama ada kita batalkan dengan mangadakan pemilihan semula…memang mana-mana parti politik pun ada berlaku begitu (tidak puas hati keputusan dan berlaku kekecohan)
“Bukan ertinya kita menyokong tindakan itu, tidak…ertinya saya sendiri yakin dengan JPU ini dan setiap pemilihan di bahagian ada wakil JPU di sana kerana mereka memantau dan laporan sebenar dihantar kepada JPU Pusat untuk kita lakukan penelitian dan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat petugas media yang membuat liputan keputusan Pemilihan UMNO di Menara Dato Onn di sini malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini, tidak lebih lima peratus kes berat dan ringan membabitkan pemilihan parti diterimanya.
Katanya, jika kes-kes sebegitu memerlukan rujukan daripada Lembaga Disiplin UMNO ia bermakna tindakan akan diambil dan jika tidak tindakan pembatalan dan doleh dibuat.
“Setakat ini, tidak lebih lima peratus aduan yang kita terima, kita berjumpa dengan pengadu dan pihak diadu, banyak sudah kita selesaikan, aduan ditarik dan mereka menerima keputusan yang dibuat perwakilan,” katanya.
Dalam pada itu ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan perjalanan pemilihan parti kali ini beliau berkata ya.
“Saya puas hati dengan perjalanan pemilihan parti tetapi perlu penelitian dan kita mesti berlaku adil kepada setiap calon dan perwakilan yang hadir.
“Jadi, itu semua akan ditangani oleh JPU,” ujarnya. – MalaysiaGazette