Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia diunjur diniagakan berhati-hati minggu depan namun penilaian menarik beberapa saham di bursa tempatan dijangka menarik pembeli yang membeli saham berharga rendah, kata seorang penganalisis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, indeks utama FBM KLCI kekal dalam kedudukan terlebih jual pada tahap sekarang.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran lebih meluas minggu depan dengan paras sokongan segera pada 1,410 dan paras ketahanan pada 1,460.

“Dari segi teknikal, sokongan segera dijangka dilihat pada 1,400 diikuti 1,370 manakala paras ketahanan pada 1,420,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata para pelabur akan memantau rapat keputusan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada 23 Mac depan.

Menurutnya, konsensus pasaran semasa menunjukkan kemungkinan akan berlaku kenaikan kadar 25 mata asas lagi.

“Kami menjangka aktiviti dagangan juga mereda ketika kita menghampiri bulan Ramadan.

“Dengan indeks utama kembali menuju ke paras melepasi 1,400, kami menjangkakan keadaan yang stabil selepas mengharungi dua minggu yang tidak menentu,” katanya.

Bursa Malaysia mengalami dagangan tidak menentu sepanjang minggu yang baru berakhir ini berikutan sentimen lemah daripada Wall Street ekoran kebimbangan akan kemungkinan krisis perbankan global susulan kegagalan Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank serta krisis yang dialami Credit Suisse Group AG dan First Republic Bank.

Bagaimanapun, FBM KLCI mencatatkan kenaikan kukuh pada Jumaat, seiring dengan lantunan semula di Wall Street selepas bank-bank utama AS berjanji untuk menyuntik US$30 bilion dalam mudah tunai bagi menyelamatkan First Republic Bank.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 21.35 mata untuk ditutup kepada 1411.73 daripada paras 1,433.08 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 113.61 mata kepada 10,336.40, Indeks FBMT 100 jatuh 102.61 mata kepada 10,028.88 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 5.73 mata kepada 10,667.24.

Indeks FBM ACE susut 78.85 mata kepada 5,248.94.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 meningkat 72.76 mata kepada 13,365.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 425.27 mata kepada 15,539.71, Indeks Tenaga susut 34.39 mata kepada 822.86, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 2.88 mata kepada 170.05.

Indeks Perladangan meningkat 109.55 mata kepada 6,872.32.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 17.96 bilion unit bernilai RM13.30 bilion berbanding 14,02 bilion unit bernilai RM9.72 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menambah kepada 11.57 bilion saham bernilai RM11.13 bilion daripada 9.24 bilion saham bernilai RM8.16 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 2.26 bilion unit bernilai RM363.11 juta daripada 1.76 bilion unit bernilai RM303.70 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 4.13 bilion saham bernilai RM1.80 bilion daripada 3.00 bilion saham bernilai RM1.24 bilion. – BERNAMA