Anwar Ibrahim. Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan meminta semua pihak bersabar berhubung kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan dalam negara ini yang memerlukan penelitian dan perbincangan menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana faktor jumlah penagih dalam kalangan anak muda termasuk di luar bandar yang semakin meningkat sehingga mencecah ratusan ribu setakat ini perlu diambil kira sebelum apa juga keputusan dibuat.

Anwar memberitahu, Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut memberi gambaran berkaitan permasalahan serius yang sukar ditangani berhubung isu penyalahgunaan dadah ketika ini.

“Sabar, kita harus teliti betul-betul, kena ingat sebaik sahaja kita halalkan (kanabis) dengan hujah kuat seperti perubatan dan keperluan, itu nak kawal susah…

“Saya tidak kata saya ada pandangan keras dalam bidang ini, saya sudah cadang supaya kita buka ruang dan bincang betul-betul implikasinya.

“Bagi orang yang nak cadangkan atau menolak, mari kita lihat secara keseluruhan dulu implikasi dan kemudian ambil keputusan sama ada nak halalkan sebahagian atau terus dengan keadaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program Dialog Anak Muda Temu Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menjawab isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971, Anwar memberi jaminan kerajaan akan menghapuskan peruntukan akta itu yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.

Beliau berkata, perkara itu juga akan dibincangkan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Anwar turut berkongsi sejarah penubuhan akta sejak lebih 50 tahun lalu itu disebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menyekat dirinya daripada memasuki universiti.

“Sekarang ini keputusan kita adalah untuk beri kebebasan akademik dan saya sudah berbincang dengan Khaled.

“Saya (juga) akan beri jaminan peruntukan yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast