KUALA LUMPUR – Kami tidak mahu simpati, kami tidak meminta-minta tetapi berilah kami peluang yang sama rata untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah menyumbang kepada ekonomi negara.
Demikian kata Pengarah Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Sha’ari.
Beliau berkata, golongan pekak seringkali berdepan realiti dan cabaran kehidupan di mana sering dipinggirkan daripada arus perdana.
Menurutnya, keupayaan serta bakat golongan OKU pendengaran tidak harus dinilai dari sudut kekurangan sebaliknya disokong menerusi platform keusahawanan yang inklusif.
Menerusi jurubahasa isyarat, Wan Zuraidah Abu, Mohamad Sazali berkongsi khabar gembira mengenai penganjuran Karnival Keusahawanan Orang Pekak 2026 sempena Minggu Orang Pekak Antarabangsa.
“Karnival ini akan menghimpunkan sebanyak 30 kiosk jualan yang dikendalikan sepenuhnya oleh usahawan pekak sendiri. Pelbagai barangan dan perkhidmatan akan ditawarkan kepada pengunjung, merangkumi makanan, hasil lukisan dan juga kraf tangan.
“Masyarakat selalu melihat warga pekak sukar berinteraksi atau berkomunikasi. Namun hakikatnya, mereka mempunyai kemahiran yang sangat tinggi.
“Ramai yang mahir memasak dan menghasilkan produk yang sedap dan bermutu,” katanya menerusi program Podcast MG.
Karnival julung kali berskala besar itu bakal berlangsung pada 26 September 2026 di IWK Ecopark, Pantai Dalam.

Katanya, biar pun ada dalam kalangan mereka yang tidak berpeluang bersekolah tinggi atau sukar menulis dan mengira dengan baik tetapi golongan ini tetap gigih cuba berkomunikasi.
“Asas bahasa isyarat untuk urusan jual beli sebenarnya sangat mudah. Sebab itu menerusi karnival ini, kami mahu membuktikan bahawa golongan pekak mampu berniaga dan berdikari jika diberikan ruang,” katanya.
Tidak sekadar memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan, karnival yang sama turut menjadi hab sehenti yang membabitkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan institusi perbankan.
“Langkah ini diambil bagi memberi pendedahan terus mengenai saluran bantuan, khidmat nasihat pinjaman perniagaan, pengurusan akaun usahawan kecil dan juga panduan sijil halal.
“Kita mahu warga pekak termasuk warga emas dalam kalangan komuniti ini mengetahui perkhidmatan dan bantuan sedia ada,” tambahnya.
Pada Karnival itu nanti, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Baitulmal serta wakil pihak bank turut dijemput bagi memberi penerangan mengenai peluang pembiayaan serta pengendalian perniagaan secara profesional.
“Jadinya, karnival ini bukan hanya untuk berniaga tetapi khidmat ini sangat berguna untuk membantu kami untuk selesaikan pelbagai perkara.
“Ramai usahawan kami yang pandai masak tetapi mungkin tak tahu dari sijil halal, cara berniaga dan saluran-saluran bantuan, jadi di karnival ini nanti akan diadakan semua untuk membantu kami,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, bagi merapatkan jurang antara komuniti pekak dengan masyarakat awam, karnival ini turut menyediakan sudut khas pembelajaran bahasa isyarat asas secara percuma.
“Selain itu, kami juga adakan kerjasama bersama Universiti Malaya (UM) dengan satu segmen pengalaman interaktif khas direka bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri perjalanan serta cabaran kehidupan seharian seorang individu pekak berkonsepkan pengalaman unik Deaf in the Dark.
“Kami mahu masyarakat hadir, belajar dan merasai sendiri dunia kami. Jangan pinggirkan kami, sebaliknya terimalah kami sebagai sebahagian daripada masyarakat.
“Sokongan dan keprihatinan anda semua adalah penyuntik semangat utama untuk kami terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.
Ia terbuka kepada orang ramai untuk sama-sama memeriahkan karnival ini sebagai tanda sokongan padu kepada pemerkasaan ekonomi golongan OKU di negara ini. – MalaysiaGazette
















