Dari kiri Wan Rosdy Wan Ismaik, Khaled Nordin dan Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjadi dua muka baharu dipilih untuk mengisi tiga tempat dalam barisan naib presiden pada Pemilihan UMNO kali ini.

Penyandang jawatan itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dan Ahli Parlimen Kota Tinggi berjaya mengekalkan kedudukannya.

Ketiga-tiga mereka meninggalkan lima calon naib presiden yang lain termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hasni Mohamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, juga Dr. Mohd Yusof Musa.

Setakat jam 4 pagi tadi, Wan Rosdy memperoleh 111 undi daripada 189 bahagian yang bersidang semalam.

Khaled pula mendapat 100 undi dan Johari 93.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang pada awalnya memberi saingan sengit kepada Johari hanya memperoleh 61 undi.

Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mendapat 43 undi manakala   Hasni 39 undi.

Sementara itu, Mahdzir,  penyandang Naib Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, sekadar memperoleh 30 undi. – MalaysiaGazette