Fuziah Salleh

ALOR GAJAH – Lebih banyak industri kilang khususnya berkaitan makanan dipelawa menyertai inisiatif Jualan Rahmah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, bagaimanapun, beliau memahami beberapa isu di peringkat struktur harga perlu diselesaikan pihak terbabit terlebih dahulu.

“Setakat ini, memang ada pertanyaan daripada industri lain untuk menyertai inisiatif Jualan Rahmah ini, cuma mereka kena selesaikan isu di peringkat struktur harga dahulu kerana ia akan memberi kesan kepada pasar raya yang menawarkan jualan ini.

“Kita amat mengalu-alukan pihak industri menjadi rakan strategik kami seperti Julie’s yang menjadi pengilang pertama sertai inisiatif Jualan Rahmah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jualan Rahmah Kasih Sayang bersama Julie’s di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata beliau berkata, dengan penyertaan kilang biskut berusia 38 tahun itu, beliau yakin lebih banyak sektor perkilangan akan menyertai Jualan Rahmah.

“Saya yakin lepas ini akan ada banyak lagi sektor kilang akan sertai inisiatif ini, Insya Allah.

“Ini kerana mereka merasakan adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk membina negara dalam keadaan rakyat berdepan situasi yang agak sukar ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette.