Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerima Sijil Anugerah WSIS 2023 daripada Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pada majlis penyerahan anugerah tersebut di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pelan Inisiatif Pelan Jalinanan Digital Negara atau JENDELA diiktiraf di luar negara apabila berjaya memenangi anugerah di World Summit On The Information Society Prizes 2023 (WSIS Prizes 2023) di Geneva, Switzerland pada minggu lalu.

Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, anugerah dimenangi itu bagi kategori C2 – Information and Communication Infrastructure: An essential foundation for an inclusive information society.

Katanya, ia anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Persidangan Pembangunan Perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggitinggi tahniah kepada semua pihak terlibat iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, syarikat telekomunikasi, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang secara berterusan bertungkus lumus untuk menjayakan insiatif JENDELA.

“Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar dunia kepada Malaysia dalam merealisasikan aspirasi untuk memastikan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti untuk rakyat Malaysia.

“Saya percaya dan berharap kemenangan ini akan menjadi satu dorongan besar untuk semua pihak terlibat terutamanya syarikat telekomunikasi untuk terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Fahmi menambah, inisiatif JENDELA yang merangkumi dua fasa mula dilaksanakan pada September 2020 yang mana pelaksanaan JENDELA Fasa 1 (2020-2022) telah menunjukkan pencapaian yang cukup memberangsangkan.

Kata beliau, pencapaian setakat suku keempat 2022 melibatkan 7.74 juta premis telah diliputi dengan ketersediaan sambungan gentian optik, melepasi sasaran 7.5 juta premis yang ditetapkan.

Pada masa sama, kelajuan jalur lebar mudah alih pada kadar purata 116.03 mbps melebihi sasaran kelajuan 35 Mbps yang disasar untuk dicapai pada penghujung tahun 2022;

“Liputan 4G di kawasan berpenduduk telah diperluas sehingga 96.92 peratus, melepasi sasaran 96.9 peratus yang telah ditetapkan.

“Selain itu seramai 839 komuniti orang asli dan kawasan pedalaman telah mendapat akses kepada Internet melalui satelit di Sarawak, Sabah, Perkampungan Orang Asli serta di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette