PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa merai dan mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam pelbagai bidang merangkumi akademik, sahsiah dan kokurikulum pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian itu akan mengiktiraf secara terus serta memberikan galakan kepada mahasiswa yang mempamerkan kecemerlangan kepimpinan menerusi penglibatan secara langsung dalam pelbagai lapangan pembangunan insaniah.
Jelas Khaled lagi, Anugerah Tokoh Siswa 2022 KPT yang berlangsung malam ini adalah platform mengangkat dan meneladani bakat dan pencapaian bukan sahaja dalam bidang akademik, malah merangkumi disiplin kesukanan, kebudayaan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan, pengucapan awam dan lain-lain lagi.
“Saya difahamkan sebanyak 916 penyertaan telah direkodkan tahun ini dan jumlah ini menunjukkan peningkatan penyertaan yang signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kesemua pencalonan ini dicerakinkan kepada 18 penerima anugerah mengikut kategori dan satu anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan,” katanya ketika berucap dalam anugerah itu di kementeriannya, malam tadi.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Sebagai platform yang memberikan galakan kepada kecemerlangan pelajar, Anugerah Tokoh Siswa ini selari dengan lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.
Katanya, sebagai pelajar inilah peluang untuk dimanfaatkan ketika menuntut di ubiversiti, jika tidak ia sekadar proses mendapat segulung ijazah.
“Bagi kami di kementerian mandat dan tugas adalah memastikan pelajar mendapat pendidikan terbaik dari tenaga pengajar berkualiti,” katanya lagi.
Untuk rekod, anugerah ini mula diperkenalkan pada 1 Mac 2013 bagi bagi memberi pengiktirafan kepada peranan individu dan badan pelajar yang berjaya memanfaatkan secara positif ruang dan peluang yang disediakan universiti dalam melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran akademik, sahsiah diri cemerlang serta memiliki ciri-ciri personaliti unggul di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Pada majlis sama Mohamed Khaled turut mengumumkan dan menyampaikan Anugerah Utama Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 yang dimenangi Mifzal Salihin.
Pelajar tahun tiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaya (UM) itu membawa pulang trofi Menteri Pendidikan Tinggi dan hadiah wang tunai RM3,000.
Mifzal ketika ditemui berkata, dia terpilih atas pembabitan aktifnya dalam platform pendidikan atas talian yang dikenali sebagai Afterkelas.com sejak tiga tahun lalu.
Katanya, ketika ini, platform itu sudah mempunyai 50 tutor terdiri daripada pelajar-pelajar universiti yang mampu menjana sehingga RM1,500 sebulan.
“Afterkelas.com menghubungkan tutor dengan pelajar-pelajar sekolah menengah yang mengambil subjek Matematik dan Sains,” katanya ketika ditemui media. – MalaysiaGazette