Datuk Seri Sulaiman Md Ali

ALOR GAJAH – Kerajaan Melaka tidak bercadang melakukan perubahan jawatan Exco di negeri ini susulan keputusan pemilihan UMNO 2023-2026 negeri ini pada Sabtu lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebaliknya berkata, semua mereka akan kekal di bawah portfolio dilantik sebelum ini biar pun ada calon bertanding kalah pada pemilihan itu.

“Kenapa nak rombak, saya tiada (cadangan rombak), yang ada ini buatlah kerja seperti biasa kecuali prestasi yang teruk, barulah kita boleh rombak.

“Sekarang ini mereka (exco) tiada apa masalah, boleh laksanakan kerja seperti biasa mengikut portfolio yang diberi dan buat masa ini belum ada cadangan rombakan,” katanya selepas meninjau projek naik taraf Kompleks Kolam Air Panas Gadek di sini hari ini.

Pengundian Sabtu lalu menyaksikan semua tiga penyandang di tiga bahagian yang dipertandingkan gagal mempertahankan jawatan mereka apabila dirampas calon lebih muda.

Mereka yang tewas adalah Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu) yang dimenangi pencabarnya, Datuk Rais Yasin manakala Datuk Hasan Abd Rahman (Bahagian Jasin) digantikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan turut tewas di Bahagian UMNO Jasin yang menyaksikan saingan empat penjuru.

Turut gagal dalam saingan Ketua Bahagian adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman apabila jawatan itu dimenangi Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Fairul Nizam Roslan yang tidak memegang jawatan dalam exco negeri.

Tiga Ketua UMNO bahagian di negeri ini masing-masing mengekalkan jawatan adalah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Masjid Tanah)Datuk Abd Razak Abd Rahman (Kota Melaka) dan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Hang Tuah Jaya) apabila tiada pencabar pada pemilihan kali ini. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast