Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Anugerah WSIS 2023 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Nasional Bhd. (DNB) baharu akan diputuskan Kementerian Kewangan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau menjelaskan, ini kerana kementeriannya tidak terlibat ke atas syarikat itu yang meliputi pelantikan ahli lembaga pengarahnya.

Menurutnya, persoalan mengenai siapa yang akan menggantikan bekas CEO DNB, Augustus Ralph Marshall di bawah kuasa Kementerian Kewangan (MOF).

“DNB adalah salah satu daripada 12 agensi yang Kementerian Komunikasi dan Digital pantau namun kami tidak membuat keputusan itu (mengenai siapa yang hendak dilantik sebagai CEO).

“Sebarang pelantikan dalam entiti Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) perlu dirujuk kepada Kementerian Kewangan.

“Insya-Allah, anda akan tahu apabila anda tahu (siapa CEO baharu),” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen di sini hari ini.

Pada minggu lalu, media melaporkan tempoh perkhidmatan Marshall sebagai CEO DNB berakhir berakhir pada 11 Mac dan tidak dilanjutkan.

Difahamkan, peranan CEO dalam syarikat bertujuan khas yang dimiliki sepenuhnya MOF bagi mengendalikan pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia ketika ini, dibahagikan antara dua pegawai buat sementara waktu.

Marshall yang mengetuai roll out 5G bagi Maxis dan Astro Networks dilantik sebagai CEO DNB pada Mac 2021.

Pada Disember 2019, kerajaan memutuskan menggunakan model rangkaian borong tunggal (SWN) bagi 5G selepas mengambil kira pelancaran 4G negara, memerlukan masa hampir tujuh tahun untuk mencapai liputan 80 peratus kawasan berpenduduk (COPA).

Justeru, cabaran CEO baharu itu adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam mencapai sasaran 80 liputan perkhidmatan 5G untuk kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini, berbanding sasaran awal pada akhir 2024. – MalaysiaGazette