Datuk Sivarraajh Chandran mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) untuk sepenggal hari ini.

KUALA LUMPUR – Mantan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivarraajh Chandran mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) untuk sepenggal hari ini.

Bercakap dengan MalaysiaGazette, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC berkata, beliau  agak teruja untuk kembali ke ‘dewan’ yang ditinggalkan olehnya sejak 2019 lagi.

Kata Sivarraajh, peluang dan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara yang perlu dipikulnya agak besar namun akan digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan rakyat secara keseluruhan.

“Pelantikan ke Dewan Negara adalah satu pengiktirafan dan dorongan kepada saya untuk terus bekerja keras demi negara dan masyarakat.

“Saya ingin gunakan peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan  Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri I dan juga Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Timbalan Perdana Menteri 1 atas kepercayaan dan peluang ini.

“Saya tidak berhenti berjuang untuk rakyat tidak kira ketika saya bergelar wakil rakyat di Dewan Rakyat, saya juga tidak pernah berhenti daripada terus lantang bersuara dalam apa jua isu sejak dulu kini dan selamanya,” katanya yang mahu menyumbang bakti memperkasakan Kerajaan Perpaduan.

Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Sivarrajh selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk satu penggal hari ini.

 

Tahun lepas, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemungkinan besar Sivarraajh yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Padang Serai akan dipertimbang untuk diberikan peranan yang sesuai dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia selepas Sivarraajh bersetuju untuk memberi laluan dan menyokong tanpa syarat calon PH untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu pada 7 Disember lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC ketika itu menang di kerusi Cameron Highland dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi selepas memperoleh 10,307 undi.

Beliau menewaskan empat calon lain iaitu M Manogran (DAP) yang meraih 9,710 undi, Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS – 3,587 undi), Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).

Bagaimanapun Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei tahun 2018 yang memberikan kemenangan kepada calon BN diwakili Sivarraajh terbatal dan tidak sah.

Ketika itu juga MIC membuat keputusan untuk tidak bertanding sebaliknya memberi laluan kepada calon UMNO bertanding di Parlimen tersebut dan menang besar dua kali, sekali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRU-15 lalu. -MalaysiaGazette