Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung dakwaan mempunyai fail-fail kes penyalahgunaan kuasa yang dilakukan pemimpin kerajaan sekarang.

Kata beliau, kenyataan Hamzah itu seolah-olah mengambarkan beliau mungkin menutup salah laku ahli politik tertentu ketika memegang jawatan menteri KDN.

“Kenyataan Hamzah itu perlu diambil perhatian memandangkan dakwaan tersebut adalah serius kerana membabitkan keselamatan negara.

“Hamzah nampaknya tidak melaksanakan amanah sebagai Menteri Kabinet seperti yang dilafazkan dalam sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Malah, semua fail berkenaan patut di bawah bidang kuasa pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Yusoff, pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan sama ada dakwaan Hamzah itu adalah benar atau palsu

“Sekiranya dakwaan itu benar, maka mereka yang melakukan kesalahan itu tidak sepatutnya dibiarkan bebas.

“Bagaimanapun, jika dakwaan itu palsu, Hamzah harus didakwa kerana mengganggu fail kerajaan dan didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi,” kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan, Hamzah berkata, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mencari kesalahan pemimpin kerajaan.

Hamzah dilaporkan berkata, beliau juga mempunyai banyak fail pemimpin kerajaan, namun menegaskan masih berfikir sama ada mahu menggunakannya atau tidak. – MalaysiaGazette