Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JD), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pelik dengan tindakan Selangor yang bermain bunga api pada minggu perlawanan kelima saingan Liga Super.

“Selama 11 tahun saya dalam arena bola sepak, saya tak pernah lihat ada orang bermain bunga api pada perlawanan kelima.

“Selama ini orang main bunga api selepas ada pencapaian contohnya menjadi juara dalam sesuatu pertandingan atau pun hujung tahun.

“Tetapi ini adalah benda yang unik, benda yang saya baru belajar bahawa kita boleh bermain bunga api pada perlawanan ke-5 liga,” katanya kepada Ahli Lembaga Pengarah JDT dan penasihat belia Johor, Khairy Jamaluddin.

Terdahulu, Khairy berkongsi satu video bersama Tunku Ismail di laman sosial dengan bekas Menteri Kesihatan itu mengucapkan tahniah di atas kemenangan besar JDT menewaskan Selangor FC 4-0.

Tunku Ismail yang berada di sebelah Khairy kemudiannya turut mengucapkan tahniah buat skuad Harimau Selatan yang memenangi aksi itu.

Pada Jumaat lalu, sebelum aksi menentang JDT di di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya terdapat bunga api yang dilancarkan sebelum perlawanan.

Namun bunga api tersebut dianggap sebagai acara untuk meraikan ulang tahun salah satu kumpulan penyokong tegar Selangor iaitu Ultrasel yang kini mencecah usia 13 tahun.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan menyaksikan JDT meraih kemenangan mudah dengan keputusan 4-0.

JDT kini gah di takhta liga dengan 15 mata dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi lima perlawanan. – MalaysiaGazette